Monday, December 29, 2014

Pengajaran Tegar Daripada Bah Besar

*Artikel ini adalah hasil daripada perbincangan dengan rakan-rakan; seorang penuntut tegar usuluddin & syariah al-Azhar, seorang geologis dan seorang penuntut sains politik. Di samping, artikel ini adalah merupakan permintaan rakan rapat kami, seorang doktor yang juga mangsa banjir yang terperangkap di Kuala Krai. Andai artikel ini bermanfaat, sebarkan ia agar suara-suara ini sampai kepada pihak-pihak berkaitan termasuklah kerajaan, pihak pengurusan bencana, media dan orang ramai yang turut terlibat sebagai pemerhati-pemerhati bencana. Wallahu'alam

Diterbitkan di MalaysianInsider di [KLIK]
--

Makan hati berulamkan jantung setiap kali menerima mesej Whatsapp langsung daripada rakan-rakan rapat yang terperangkap seakan-akan terkurung dalam sangkar bah besar, menagih bantuan meminta tolong.

"Saya di Kok Keli. Pusat pemindahan lebih 3,000 orang. Saya beri rawatan kecemasan hanya dengan cahaya daripada lilin. Teruk keadaan di sini."

"Bilik doktor saya ubahsuai menjadi labour room. Kami terputus bekalan air. Mujur kami mempunyai beberapa tong air mineral. Pesakit muda anak pertama. Kini, saya sedang menunggu ibu muda melahirkan anak sulungnya, seorang bayi yang tenat bersama dua pesakit yang disyaki ICB. Saya perlu berehat kerana saya hanya tidur 3 jam sejak semalam. Badan sudah terasa sengal dan mata sudah layu tetapi otak masih memutarkan pengalaman sedih tadi."

“Dekat pusat pemindahan Tendong, tidak ada makanan langsung. Sepupu mama aku baru sampai ke USM dari pusat pemindahan itu untuk dialisis. Tengah bawa makanan semua. Makan macam kebuluran. Macam dekat Somalia, orang bergaduh-gaduh rebut makanan untuk anak-anak kecil.”

Hanya sebahagian mesej mampu dikongsi di sini.


Pengajaran politikus dan media

Adakah terlalu sukar untuk para pemain politik faham saat hujan lebat merintik, yang kita perlukan ialah sekaki payung dan bukannya herdik-mengherdik dan komen-komen ramal dan tenung?

Kita tidak nafikan setiap musibah adalah amaran daripada Allah tetapi kata-kata “pembersihan dosa” yang kita hamburkan seberapa segera tidak mampu membantu mereka yang hampir-hampir kehilangan nyawa!

Setiap perkataan ada tempatnya, wahai YB-YB sekalian. Di waktu bencana sedang berlaku, kita perlukan bantuan bukannya komen dan pandangan.

Selain politikus, pihak berpengaruh yang lain sudah semestinya pihak media – elektronik mahupun cetak, internet, radio mahupun TV.

Kita berterima kasih atas segala liputan yang diberi dan susah payah para wartawan bergolok-gadai nyawa semata-mata untuk mendapatkan berita-berita daripada kawasan liputan.

Namun, yang kita hairan ada segelintir trend berita yang amat tidak sensitif dengan skala bencana yang begitu destruktif.

Berita berkenaan pasangan mangsa banjir sempat bernikah atas sampan, penduduk harung laut untuk menangkap bondongan kerang yang tiba-tiba datang dan sebagainya amatlah memalukan di saat ramai lagi mangsa banjir jika diteliti, mesej rakan kita yang terperangkap dan tidak menerima bantuan.

Media sewajarnya istiqamah dan sentiasa pastikan berita yang tersiar mempunyai nilai tambah untuk memastikan mangsa-mangsa bah segera dibantu agar semua nyawa dapat diselamatkan tanpa sebarang korban.

Berita-berita wajib betul dan tepat menggambarkan suasana yang terancam dan tenat agar ramai lagi warga Malaysia akan berkesedaran untuk menghulurkan bantuan, bukannya lega – tidak mengapa, kerajaan sudah tolong mereka.

Berita yang betul dan tepat ini amat mustahak kerana ia dapat mengekang penularan berita-berita palsu ketika rakyat sudah muak lantaran media perdana lambat melaporkan keadaan sebenar dan mula beralih ke media-media baru.

Wahai pemain politik juga pemain media, kembalikan suara rakyat dalam suara-suara anda. Tolonglah sensitif dan cakna dalam berbicara.

Pengajaran pengurusan bencana

Pertamanya, menutup ruang-ruang bencana sedaya upaya.

Kita sering mengaitkan musibah yang melanda atas sebab maksiat yang dilakukan.

Kaitan itu betul dan tepat namun kita sering lupa dan malas untuk mengkritik dan benar-benar mendesak sebab-sebab langsung sesuatu musibah itu terjadi bertitik-tolak daripada tangan-tangan manusia sendiri.

Siapa boleh padam fakta dan sorokkan hakikat isu penggodolan hutan di negara kita sudah tidak terkawal.

Dapatan Nasa yang mengesan penggondolan hutan (deforestation) secara besar-besaran berlaku di negara kita pada suku awal tahun ini sahaja di mana Pahang dan Negeri Sembilan mencatatkan kawasan baru penggondolan.

Malah, agensi satelit quarterly Indicator of Cover Change (QUICC) itu menyimpulkan peratus kes penggondolan hutan meningkat sebanyak 150% dalam masa lima tahun sahaja.

Budak sekolah rendah pun boleh menghuraikan kaitan kesan banjir besar dengan penggondolan hutan secara besar-besaran.

Soalnya, bilakah kita akan benar-benar insaf dan segera menghentikan kerja gila pembangunan ini?

Keduanya, isu darurat.

Kita tidak pernah kisah naik turun imej mana-mana politikus. Cukuplah yang berkenaan melakukan muhasabah sendiri. Yang jauh kita lebih risaukan ialah dengan segala kuasa dan kudrat yang kita punya, sejauh manakah bantuan dihulurkan segera?

Dari itu, pengisytiharan darurat yang tidak dilakukan mengundang persoalan ketika daerah Muar dan Ledang tidak sampai sehari dua terus diisytiharkan darurat dengan klausa-klausa tertentu akibat jerebu tahun 2013.

Malah pada saat ini, pihak berkuasa Bandung, Indonesia mengisytiharkan darurat sekalipun angka mangsa banjir mereka cuma mencecah 17,000 orang berbanding Kelantan dan negeri-negeri lain yang berkali-kali ganda jumlah mangsa berbanding mereka.

Alasan yang digonggong di corong media mangsa banjir tidak boleh menuntut pampasan insurans ialah satu alasan yang rapuh dan begitu teknikal sifatnya kerana para pelanggan insurans boleh mengisytiharkan kerosakan sebelum tarikh darurat diisytiharkan.

Jangan sampai rakyat bawahan beranggapan – kalau ikut logik insurans tidak boleh tuntut, makna kata kalau satu Malaysia tenggelam pun – di sisi para politikus, ia adalah hujah yang rapuh dan untuk mengisytiharkan darurat adalah suatu yang mustahil akan berlaku sampai kiamat!

Pokok pangkalnya, mengapa aset negara kelihatan begitu lambat sampai ke kawasan-kawasan “ground zero” sehingga banyak berita daripada rakan-rakan yang kita terima menyatakan bantuan belum sampai, helikopter sekadar berlegar-legar sedangkan sepatutnya sudah diketahui kaedah terbaik menghantar bantuan segera serta pusat penempatan tidak cukup bekalan.

Justeru, pihak pengurusan bencana seharusnya lebih bersedia untuk cepat dan tepat menggunakan “kuasa darurat” agar wang cukai rakyat yang membeli pelbagai aset mahal negara tidak berakhir di perarakan sambutan kemerdekaan saban tahun sahaja.

Ketiganya, isu pengurusan bencana.

Banjir berlaku hampir saban tahun. Ironinya, adakah kehadirannya setiap tahun membuatkan kita terasa imun sehinggakan tindakan pihak berkuasa pada awal bencana memperlihatkan seakan-akan kita tidak bersedia dari segi bekalan, aset bantuan malah keselesaan?

Beberapa hari lalu, rancangan TV Khawater ada menceritakan bagaimana Turki membuat persediaan lebih awal, paling lewat seminggu sebelum jangkaan berlakunya bencana.

Perdana menterinya sendiri turun dan mengarahkan semua agensi kerajaan untuk bersiap sedia dengan bekalan dan persiapan yang rapi supaya rakyatnya terbela.

Disebutkan di sebuah kawasan, Turki berhadapan banjir besar pada tahun 2004. Namun, pada tahun berikutnya, banjir tidak berlaku sedangkan bacaan hujan pada tahun 2005 itu adalah empat kali ganda melebihi tahun 2004. Ini disebabkan pasca banjir 2004, kerajaan Turki mengambil langkah bijak untuk mengatasi masalah berkenaan daripada berulang.

Justeru, adalah menjadi keperluan supaya kedua-dua pihak (negeri dan persekutuan) menyediakan bekalan dan persiapan lebih awal di setiap pusat pemindahan. Pusat pemindahan sementara banjir yang tetap dan lengkap dengan segala peralatan di setiap daerah perlu disediakan bagi kawasan negeri yang berhadapan banjir saban tahun.

Memandangkan aplikasi sosial begitu meluas digunakan khususnya oleh mangsa bencana, adalah amat baik sekiranya pihak berkuasa sebaik sahaja bencana terjadi, segera melancarkan nombor WhatsApp dan ID WeChat bantuan khusus yang boleh dihubungi agar maklumat langsung diperoleh dan bantuan seberapa segera dapat dihulur.

Pengajaran pemerhati bencana

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Selaku rakyat Malaysia, saya teramat bangga dan terharu melihatkan warga kita yang begitu cakna menghulurkan bantuan seberapa segera baik mangsa bencana di luar apatah lagi di dalam negara.

Pusat-pusat pengumpulan bahan bantuan dan saluran-saluran derma tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Berita-berita langsung daripada mangsa-mangsa menerusi media sosial terutamanya WhatsApp and SMS begitu viral.

Hal sebegini wajib diteruskan.

Namun, dalam kemeriahan dan keikhlasan pemberian bantuan, masih wujud dalam kalangan warga kita yang tidak bertanggungjawab.

Mereka-reka nombor bantuan, melaung-laung cerita bohong, mengutuk-ngutuk sukarelawan dan melakukan pelbagai bentuk tafsiran dan tuduhan yang bersifat tidak membantu malah membantutkan perasaan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

Hal sebegini wajib dihentikan. 

Saya tertarik dengan mesej Usrah Nurani di IKIM.fm Jumaat lepas yang menyimpulkan – ketika kita ditimpa bencana, kita tidak sepatutnya disibukkan menentukan bencana ini bala ataupun ujian.

Yang segera kita perlu lakukan adalah bagi mangsa untuk terus sabar dan redha dan bagi pemerhati untuk segera menghulurkan bantuan berterusan sehingga mangsa bencana kembali seperti sediakala.

Akhirnya, bencana sepatutnya menjadikan kita seseorang yang lebih dekat dengan Tuhan dan semakin berubah ke arah kebaikan.


Penutup

Mulut kita terkadang terlalu lancang dan cepat benar memandang sinis apabila cerita-cerita tragis daripada mangsa bah besar berlegar-legar di media sosial.

Cukuplah petikan catatan FB Dr Afiq Rahim, mangsa bah besar di Klinik Kesihatan Badang, Kelantan mencelikkan kita bagi mangsa bah besar, media sosial adalah satu-satunya talian hayat yang mereka ada.

“Oh ye, ada yang berkata dalam keadaan sibuk masih sempat berkongsi cerita. Saya terpaksa. Jika tidak anda di luar tidak akan tahu situasi kami kerana wartawan pun tidak mampu meredah banjir dan membahayakan nyawa hanya untuk secebis berita biasa.

Juga, jangan lupa untuk kongsikan kisah ini kepada pihak atasan agar keluhan dan rintihan kami mangsa banjir dapat terus didengari. Teruskan menderma.

"Selamat malam dunia bawah air!”

Wahai rakyat Malaysia, bagaimana anda membalas ucapan selamat malam itu? Sekadar memandang atau segera bertindak membantu? – 28 Disember, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/pengajaran-tegar-daripada-bah-besar-zaim-yusoff#sthash.V7nqXBrv.dpuf 

Thursday, December 25, 2014

Senarai Ulasan/Kritikan Filem Terbaik Dari Langit Untuk Rujukan Anda

JANGAN LUPA TONTON TERBAIK DARI LANGIT BERMULA CUTI KRISMAS! 
SENARAI ULASAN/KRITIKAN FILEM TERBAIK DARI LANGIT UNTUK RUJUKAN ANDA

1. Terbaik is Yet to Come, MamuVies [KLIK] 
http://mamuvies.blogspot.com/2014/12/terbaik-is-yet-to-come.html?m=1

2. Terbaik dari Langit(2014)Fadli Akiti [KLIK]
http://tontonfilem.blogspot.com/2014/12/terbaik-dari-langit2014.html

3. Kembara Ke Asal, Za'im Yusoff [KLIK]
http://www.zaimterbang.blogspot.com/2014/12/ulasan-terbaik-dari-langit-2014-kembara.html

4. 'Terbaik Dari Langit': About Being True, Not Just Different, Daily Seni [KLIK]
http://dailyseni.com/index.php/home/features/item/2194-review-terbaik-dari-langit-about-being-true-not-just-different

5. About Friendship, Bisme Bisme Bisme [KLIK]
http://bissmethesun.blogspot.com/2014/12/terbaik-dari-langit.html?zx=1da8c6511d95c2f7

6. Terbaik Dari Langit : Cerita wayang kita dan kembara mencari Tuhan, Astro Awani [KLIK]
http://www.astroawani.com/news/show/terbaik-dari-langit-cerita-wayang-kita-dan-kembara-mencari-tuhan-50761

7. YouTube - 'Terbaik Dari Langit' terima respons positif [KLIK]
https://www.youtube.com/watch?v=zN4_xog4ExI

8. Buka Panggung [KLIK]
https://bukapanggung.wordpress.com/2014/12/27/terbaik-dari-langit-2014/

9. Cikgu Man Station [KLIK]
http://cikgumanstation.blogspot.com/2014/12/review-terbaik-dari-langit.html


10. Ajami Hashim [KLIK]
http://www.rotikaya.com/review-terbaik-dari-langit/


11. Terbaik Dari Langit: Antara Rumahseni dan Komersil, Perang Filem [KLIK]
http://perangfilem1.blogspot.com/2014/12/terbaik-dari-langit-antara-rumahseni.html

12. Terbaik Dari Langit - Could Have Been Better, Amir Hafizi [KLIK]
http://themalaysianreserve.com/new/story/terbaik-dari-langit-could-have-been-better-2


13. IMDB - 8.0/10 [KLIK]
http://www.imdb.com/title/tt4131518/ 

14. Terbaik Dari Langit - Pandangan Peribadi, Adzril Maizan [KLIK]
http://www.mymagicalmorning.com/2014/12/terbaik-dari-langit-pandangan-peribadi.html

15. Amy Ikram [KLIK]
http://www.amyikram.com/2014/10/terbaik-dari-langit-filem-malaysia-ke.html


16. I Review Movies [KLIK]
http://ahoitytoitycinephilesmovierevie.blogspot.com/2014/12/two-malaysianmalay-movies-lelaki.html


17. Aysha Ridzuan [KLIK]
https://ayshardzn.wordpress.com/2014/12/27/terbaik-dari-langit/

18. A Fresh Malaysian Road Movie, We Are Malaysian Made [KLIK]
http://www.wearemalaysianmade.com/2014/12/10/a-fresh-malaysian-road-movie-terbaik-dari-langit/


19. Friends Forever, The Star [KLIK]
http://www.thestar.com.my/Lifestyle/Entertainment/Movies/Reviews/2014/12/27/Terbaik-Dari-Langit/


20. Pengembaraan mencari 'sesuatu', Joni Jual Filem [KLIK]
http://jonijualfilem.blogspot.com/2014/12/rebiu-filem-terbaik-dari-langit.html

21. Maryam, [KLIK]
http://truleeunique.wordpress.com/2015/01/01/film-review-terbaik-dari-langit-2014/

22. Ridhwan Saidi [KLIK]
http://binfilem.blogspot.com/2015/01/terbaik-dari-langit-nova-dll.html

Siapa ada lagi, tolong masukkan ya. Letak link dekat komen, nanti saya perbaharui. 

Ulasan Filem Bollywood - P.K. (2014)

"Dalam dunia ini, ada dua jenis tuhan.
Tuhan yang menciptakan kita.
Dan Tuhan yang kita cipta.
Musnahkan Tuhan yang kita cipta.
Kembali dan kenali Tuhan yang menciptakan kita."

-Watak P.K. lakonan Amir Khan dalam P.K. (2014)

ULASAN AMIRUL HAMUDIN

Sebelum membaca ulasan saya, mari baca ulasan rakan sepenulisan saya, Saudara Amirul Hamudin yang merupakan bakal seorang doktor merangkap cerpenis yang hebat :

Hari ini menonton P.K, sebuah movie lakonan Amir Khan. Jika selama ini saya merasakan 3 Idiots sebuah movie terbaik dilakonkannya diikuti Like Stars on Earth, maka hari ini fikiran saya sudah berubah.

Hebatnya P.K, jauh meninggalkan dua movienya sebelum ini. Sangat tajam, dalam masa sama lucu, menyedihkan, menggembirakan dan ah, semualah. Sehingga saya tidak tahu apa yang dirasakan usai tamat menontonnya.

Hebatnya P.K dalam memaparkan kebobrokan dan paradoks bumi yang sedang kita tinggal. Semuanya terus, yang selama ini kita perasan tetapi tidak tahu bagaimana hendak mengungkapkannya, dan anda hanya akan mampu bersetuju sahaja.

Hebatnya P.K ialah sebuah cerita yang melangkaui ras, kaum, bangsa dan tentu sahaja agama. Kerana P.K tidak pilih bulu dalam mengkritik soal agama yang dijual oleh 'pembesar agama' (disebutnya sebagai Manager/CEO of respective religion), sehingga ramai tertipu dalam menyangka apa yang dimomokkan itulah agama yang sebenarnya TANPA boleh dipersoalkan lagi.

Hebatnya P.K sehingga ramai mungkin tidak sanggup menontonnya pun (dalam masa sama, saya sendiri terkejut movie ini lepas untuk ditayangkan di Malaysia). 


ULASAN ZA'IM YUSOFF

Amirul Hamudin, bagi saya kurang tepat dalam memperihalkan filem P.K. yang dikatakan jauh meninggalkan masterpiece Amir Khan sebelum ini semisal 3 Idiots mahupun Taare Zamen Par; bukan-bukan. Sebaliknya, segala kerja seni Amir selama ini hanyalah lantai-lantai bumi sebaliknya P.K. adalah mahakarya langit hasil tenunan cenungan Amir yang tajam, melebar dan mendalam. Ringkasnya, P.K. adalah Magnum Opus Amir (setakat ini).

Menghasilkan filem satira adalah sesuatu yang amat sukar kerana ia meramukan dua elemen utama naratif sinema - teks dan subteks.

Teks, rangka ceritanya harus kuat dan memenuhi segala elemen penceritaan sebagaimana yang biasa dibabadkan dalam kuliah-kuliah skrip penulisan selain kreativiti permainan plot yang seboleh-boleh tidak dibazirkan meskipun sesaat. Semua plot wajib mempunyai fungsi walau sebiji sawi, dan setiap diksi perlu tepat walau sebatang huruf. Di samping ceritanya segar dan tidak mengundang walau seangguk kantuk.

Dalam P.K., walaupun isteri saya berdebat tentang plot-plot akhir yang akhirnya tumpas di penghujahan balas saya (haha) dengan mengambil naratif teks Amir yang tidak pernah tercicir telah membuktikan bahawa teks filem ini sangat ketat. Tidak ada yang dibazirkan - semua sisi-sisi cerita yang ditimbulkan, tidak pernah dilupakan sebaliknya dilengkapkan dan digunakan semula untuk melengkapkan saga cerita yang kemas. Malah, watak Janggu (Anushka Sharma yang isteri saya kata cantiknya dia! haha bukan saya kata ya hehe) sebagai seorang penulis telah mengisyaratkan bahawa Rajkumar Hirani dan rakan-rakan merupakan orang-orang seni yang telah bersatu dengan seni dari segi lahiriah mahupun maknawiyyah.


Subteks, perjalanan cerita separa sedar yang dilihat sebagai suara pengkarya yang sebenar dalam mentamsilkan idea dan pemikiran yang jauh lebih besar tidak syak lagi disuarakan dengan begitu jelas dalam P.K.

P.K. mengangkat perjalanan roh yang mencari jalan pulang. Manusia yang berasal daripada langit dengan fitrah asalnya dicampak ke bumi, melata dengan kerancuan ujian dan kepelbagaian yang mengelirukan dalam perjalanan kembali mencari Bhaghwan yakni Tuhan. Hal ini turut diungkit oleh Filem ‪#‎TerbaikDariLangit‬ karya anak-anak tempatan ditunjangi Nik Amir, Redza Minhat dan rakan-rakan yang bakal diluncurkan esok. Namun, saya melihat Terbaik Dari Langit meskipun suatu yang sangat baik dan menarik hasil sinema tempatan masani, tetapi ia sekadar mampu mengambil 1/10 daripada P.K. Kerja keras harus dilaksanakan oleh team anak muda tempatan ini untuk mencari lagi 9/10. Kalian boleh teliti ulasan saya berkenaan filem itu di sini [KLIK]

Pada awal pelayaran P.K., saya bersifat sedikit skeptikal. Ah, sudah! Shah Rukh Khan baru nak mai dah. Pluralisme macam dalam My Name Is Khan. Namun, ternyata saya salah, karya Amir kali ini ternyata amat berhati-hati dan kemas dalam membuka persoalan, merungkai provokatif soal perihal kepercayaan yang berteraskan ketuhanan dan kepercayaan dengan tidak meninggalkan soalan demi soalan begitu sahaja tetapi diberikan jawapan yang jelas dan tepat - meskipun, ya - para penonton perlu kembali ke rumah dan meneruskan pencarian kembara roh itu semula.

P.K. memanfaatkan segala hubungan cinta yang pernah wujud di atas bumi - baik meliputi cinta sahabat, cinta kekasih, cinta keluarga (wujud perhubungan ala-ala Murph-Cooper dalam Interstellar meskipun tidak semenonjol mereka namun masih mampu mengundang deraian air mata) malah cinta kepada yang memberikan harapan baik dari sudut guru-murid (meski dalam aura antagonis).

Saya mahu ceritakan segala-galanya tentang pun, juxtaposition, simile, bahasa visual dan segala yang ada dalam P.K. tapi saya kira ruang FB terlalu terhad untuk itu semua.

Rasailah sendiri - di saat anda gelak, beringatlah - anda mungkin sedang menggelakkan diri sendiri!

10/10 definitely.

Wednesday, December 24, 2014

Lembu & Mat Derih Kola Perlih : Satira Politik Tak Berdolak Dalih

Dapatkan tiket-tiket sekarang!
“Dara aku hilang, manalah Dara aku pergi.”


Aku ketawa tak berhenti-henti mendengarkan watak Ameera Ramlee melaung-laungkan ini meski menyedari seakan-akan yang ketawa itu hanya aku seorang sahaja. Hanya di akhir naskhah pertama “Lembu” itu, ternyata ketawa aku itu berasas dan aku tersenyum mengenangkan ketawa aku itu sendiri.

Dara – bukan sengaja diberi nama dara. Dara ialah fitrah. Hilang dara dengan maksud hilang fitrah. Di saat fitrah hilang, yang tinggal hanyalah songsang. Begitulah politik kita, masyarakat kita – di saat fitrah asal sudah hilang, yang berbaki hanyalah kesongsangan niat yang membawa kepada keterbalikan perilaku.

Agama dan bangsa bukan lagi faktor penyatu sebaliknya hujah untuk kita berseteru; dan dalam naskhah Lembu & MatDerihKolaPerlih ini, Nam Ron memilih politik sebagai subjek untuk menjukstaposisikan kedua-dua karyanya ini menjadi seadun dan sebati, serumpun dan selari dalam mengangkat apa yang disebutnya sebagai tema yang jarang-jarang, kadang-kadang dibawa ke lapang-lapangan pementasan tempatan.

Nam Ron sebagai Mat Derih
Jujurnya, aku menyukai monodrama sebegini. Ia kembali kepada asal-usul seni yang merupakan pitahati manusia asalnya. Genre yang dipilih ialah monodrama yang secara halus bagiku mementaskan apa yang terbuku dalam dada dalam Nam Ron tentang gelut gilat siasah ummat.

Selama ini, aku agak sinis menontoni perempuan beraksikan lelaki, paling cemerlang pun seorang aktres wanita tempatan itu hanya mampu beraksi sebagai lelaki hanyalah seperti seorang “tomboy” (Aku Bukan Tomboy, 2011 misalan).

Ameera Ramli melakonkan hampir lapan ke sembilan watak dengan cemerlang
Namun, Ameera menyangkal kepercayaan aku itu malam pra tonton teater kompilasi Nam Ron ini. Ya, aktres wanita yang berupaya menjadi lelaki rupanya benar-benar wujud. Tahniah Ameera! Naskah Lembu amat cemerlang terutama dari sudut pembawakan kurang lebih lapan ke sembilan watak oleh saudari!

Teater Lembu & MatDerihKolaPerlih ini merupakan teater kompilasi dua naskhah Nam Ron yang pernah dicalonkan bagi anugerah BOH Cameronian Arts Award 2004 - Skrip Asal Bahasa Melayu Terbaik bagi naskhah “Lembu” dan memenangi Anugerah BOH Cameronian Arts Award 2003 - Skrip Asal Bahasa Melayu Terbaik bagi naskhah “MatDerihKolaPerlih”.

Justeru, bersempena pembabitan Nam Ron selama 25 tahun dalam bidang seni sebagai pendidik, penggiat, pengarah, penulis dan pelakon sedari 1989, kedua-dua naskhah yang telah diiktiraf ini digabungkan lantaran tema yang selari yakni kritik-kritik politik.

Kita seringkali melihat kritik-kritik politik yang melibatkan tokoh-tokoh politik dalam banyak lapangan seni dari penulisan hinggalah pementasan (Kerusi dari Hatta Azad Khan misalan); namun sesuatu yang mungkin sedikit jarang-jarang dan kadang-kadang ialah keperihalan kritik pada orang-orang bawahan politik semisal mak cik-mak cik Wanita ataupun pak cik-pak cik JKKK yang seringkali berlebih-lebihan membawa mesej politik dari pihak atasan.
Pekin Ibrahim selaku Solleh
Tanpa menafikan suara Haji Suhaimi Hanafiah persis suara Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dengan amanat Haji Hadinya – namun, suara itu lebih hampir kepada suara imam-imam kampung yang memunggungi kata-kata TG Haji Hadi dengan buta tuli. Dari kebutatulian itulah lahirlah asumsi demi asumsi hinggakan kehilangan Dara, seekor lembu yang bakal dikorbankan dikaitkan dengan petunjuk Tuhan bahawa majlis menyambut “pemimpin beso” itu dilaknati para penduduk langit.

Bukankah hal sebegini turut berlaku pada hari ini, di saat air bah besar melanda saudara-saudara kita di Kelantan terutamanya, terus dikaitkan itulah amaran Tuhan kerana kalian telah tersalah memilih parti politik untuk memerintah?

Ini adalah sebahagian bukti skrip Nam Ron ini malar segar.

Selaku penikmat puisi, penggunaan sajak sebagai seni membodek “pemimpin beso” yang bertandang ke kampung mereka amat menggeletek pemikiranku.

Ia tidak lain tidak bukan membawa semula syair seribu empat ratus tahun yang dahulu ketika penyair baginda Rasulullah solla Allahu ‘alaihi wa ‘ala aalihi wassalam, Sayyiduna Hassan Bin Thabit radhiyallahu ‘anhu mengungkapkan bait-bait ini :


Pergilah tonton teater ini di DPAC dan pastinya kalian mengakui sajak yang dideklamasi dalam monodrama ini adalah contoh sajak yang termasuk dalam kategori “majlis seni yang mencerminkan kebodohan”.

Penggunaan loghat atau telor bahasa (Utara, Kelantan dan Perak) dalam kedua-dua monodrama ini amatlah cemerlang. Meski Nam Ron dan Fared Ayam mengatakan ia sekadar eksperimental seni bahasa yang bercabang, aku tidak anggap begitu.

Bagiku, penggunaan tiga loghat utama ini seakan-akan simbolik bagi mereka selaku pengkarya untuk mencampakkan makna yang lebih besar bahawa bahasa teater ini adalah bersifat universal, tidak setempat malah meliputi pelbagai strata masyarakat di mana-mana sahaja selagi wujud masyarakat yang berpolitik dengan cara begitu.

Naratif melodrama Nam Ron dalam “MatDerihKolaPerlih” amatlah mementingkan imejan melalui naratif percakapan. Ini mengingatkan aku pada watak Ryan Stone lakonan Sandra Bullock dalam Gravity (2013) yang meninggalkan visual pada layar perak sebaliknya membina imejan melalui susunan kata-kata.

Malah, bahasa Nam Ron yang rinci dan deskriptif amat membantu penonton membayangkan sendiri adegan-adegan yang sedang dibuai-buaikan oleh Nam Ron dalam pelayaran naratifnya. Ini sesuatu yang sukar dilakukan kerana seringkali terbabas dan dilihat sebagai didaktik yang memualkan. Tetapi, Nam Ron mampu menjaga diksi dengan baik hingga ceritanya tidak lari dari larik-larik pembinaan cerita setingkat demi setingkat – hingga di akhir kita ditempelak akan asal-usul politikus yang sebenarnya dari lorong-lorong tikus.

Kanan sekali - Sara Ali sebagai Wati
Nam Ron yang turut berlakon, Pekin dan Sara Ali (masih kuat dalam kepala aura watak Johanna dalam Songlap) sudah punya kelas tersendiri. Meskipun perkembangan watak khususnya Sara Ali terasa agak cepat dan tidak cukup masak, kemungkinan besar merupakan kehendak pengkarya, namun ia masih enak untuk dinikmati.

Di temuramah hujung, ketika ditanya kepada Nam Ron – tidakkah kritik politik saudara terlalu  langsung ketika memperihalkan Pak Lah yang kerjanya asyik tidur? Nam Ron menjawab dengan jawaban biasa para seniman “professional” – teater ini adalah fiksyen, tiada kait-mengait dengan orang yang hidup mahupun mati.

Aku ada dua jawab balas bagi kenyataan Nam Ron ini.

Pertama, kalau tiada yang hidup, tiada yang mati – maka, dari mana asalnya inspirasi cerita yang dipentaskan ini?

Kedua, persoalan ini sudah dijawab dengan begitu puitis bersama teknik keterbalikan yang menggugah daripada Bonda Zurinah dalam puisi “Pelakon Teater Kami”, Antologi “Cerita Dalam Cerita” terbitan ITBM :

PELAKON TEATER KAMI

Dia terpilih sebagai pelakon terbaik
dan kami cukup puas hati
setiap kali dia beraksi.

Antara lain yang paling kukenang
dia melakonkan watak pawang
dengan getar suara membaca mantera
begitu lantang menghalau hantu jembalang,

"Hey jin kepala tujuh
jin bernama jin khianat
keluarlah kamu dari jasad rakyat
anak cucuku sudah lama sakit tenat
sudah lama melarat
hey hantu segala hantu
hantu pembelit hantu penipu
jangan ganggu anak cucuku
sehingga mereka lari ketakutan
ke pinggir-pinggir hutan
tinggallah kamu dan para kroni
menguasai kota ini."

Aku pernah bertanya dia,
Sungguh hebat kau berlakon
semua penonton terpegun
bagaimana kau menjadi pawang
bengis dan garang
menghentak dan menendang
sangat berlainan dari dirimu
yang sopan dan pendiam.

Dia hanya tersenyum menjawab
seperti biasa kata-katanya cukup terhad,
Yang kau lihat di pentas itu
sebenarnya adalah aku
di luar pentas aku adalah pelakon,
yang menelan kemarahan
menjadi sopan santun
kerana di luar pentas
lebih ramai penonton.

Di pentas aku bebas beraksi
sebagai diri sendiri
sebaik turun
aku pun mula berlakon.

Nam Ron, dengan aku – usahlah berlakon di luar pentas! =)

Tahniah! 7.8/10 

---

Bagi mendapatkan tiket di sini butirannya :

Teater Kompilasi Nam Ron Vol 2 : Lembu & Matderihkolaperlih


Date: 

Damansara Performing Arts

Show: 

24th Dec - 8.30pm
25th Dec - 3.00pm, 8.30pm
26th Dec - 8.30pm
27th Dec - 3.00pm, 8.30pm
28th Dec - 3.00pm, 8.30pm

Ticket: 

RM55 (Front view, Free Seating)
RM40 (Side view, Free Seating)

Purchase : 

1) Online Banking via DPAC Website www.dpac.com.my, 
or call 03-40650001/0002

2) Online Transfer/Cash Deposit via Ayaq Hangat Entertainment 
(Maybank account), or call 017-7119327

Wednesday, December 17, 2014

Ulasan Ringkas Kumpulan Puisi Remaja : Bintang Timur

BUKU KUMPULAN PUISI REMAJA : BINTANG TIMUR TULISAN AMRAN IBRAHIM RASHIDI

Amran seorang deklamator. Dinobatkan selaku johan deklamator serta dijemput ke sana sini, ke dalam TV mahupun atas pentas seni sudah menjadi hujah, Amran seorang deklamator. Dan puisi-puisi dalam buku sulungnya ini adalah hujah ketiga yang sememangnya mengesahkan bahawa Amran seorang deklamator. Deklamator tegar.

Kalau bait-bait ini ialah meter-meter muzik, maka bait-bait puisi beliau melagukan rentak staccato yang punya jeda yang jelas untuk direntakkan. Mesej-mesejnya langsung dan melebihkan tumpuan kepada nilai estetika khususnya jeda dan dalam beberapa kes, diksi berbanding makna yang tampak sederhana tanpa metafora yang mendalam tetapi cukup dan sesuai buat para amatur dan pelajar yang baru mengayuhi kolek-kolek sampan kepenyairan. Ini bersesuaian dengan genre puisinya - kumpulan puisi remaja. Sesuai amat untuk remaja.

Dari segi suara, suara Amran amat kuat dengan kecintaan yang mendalam terhadap perjuangan bahasa disaduri mesej Islam dan Melayu yang tuntas, langsung dan jelas sekaligus hal ini amat menarik memandangkan ramai anak muda lebih berkecenderungan untuk masuk ke daerah anti-thesis yang terkadang tampak mencelarukan. Tetapi tidak bagi Amran. Sekalipun hidup dirudung malang, namun jihad agama dan perjuangan bangsa menjadi inti terutama sebagaimana dijelmakan Amran dalam puisi "Syair Yang Tinggal".

Bila dewasa ilmu ditempa
mengaji agama ke hujung nyawa
budi bahasa jiwalah bangsa
tinggallah dunia tinggal amalnya.

Saya tabik hormat pada beberapa puisi beronakan pantun lantaran Amran faham benar ketinggian seni pantun. Pantun bagi failasuf-failasuf Melayu, bukan sekadar merimakan a-b-a-b dengan baris pembayang dan maksud yang jelas erti, namun ia lebih dari itu. Pembayang semoleknya membayangkan erti seperti alir pemikiran lateral sebelum masuk merungkaikan literal pada baris-baris maksud. Lihat sahaja pantun dalam puisi "Padi Rukun". Amran menukil :

Padi bukan sebarang padi
makin tunduk makin berisi
negeri bukan sebarang negeri
rakyat tawaduk kuat mengaji.

Jeda Amran cemerlang dengan menyamakan jeda tengah yang sering dicuaikan pemantun-pemantun biasa. Lebih cemerlang, metafora padi yang dekat dengan baruh ekonomi orang Melayu seakan mengherdik pada baris maksud bahawa negeri yang maju bukan sekadar keberhasilan laba ekonomi tetapi pada nilai diri bersendikan agama dan kesopanan bangsa. Saya menunggu dengan sabar karya Amran yang khusus pada mengungkapkan cuma rangkap-rangkap pantun yang tersusun pada rangka dan makna.

Secara tuntas, kumpulan puisi ini bagus untuk para deklamator sebagaimana Amran untuk dipersembahkan di seribu satu sanggar seni tanah air. Juga buat yang baru berjinak-jinak dengan dunia kepenyairan bersesuaian dengan usia keremajaan puisi anda yang seharusnya sekemas puisi-puisi Amran.

7/10

Tahniah buat Amran!

:)

Sebarkan Manfaatnya! :)