Tuesday, February 25, 2014

Pungguk & Semilir (I)

Si pungguk menunggu tersengguk-sengguk 
rindu menahan katukan malam, segeng-
gam suara sobek-sobek
sendu seguguran 
dendam.

Semilir pawana hadir menampar
pipi pungguk yang becak 
dengan teriak diam
dalam daerah
asing.

Langit jiwa pungguk, berzulumat
sayap hitamnya menghijab
dada cinta yang hinggap
di dahan kenangan
semalam.

Katupkan paruhku dari bising
mengicaukan aku cinta
pada bulan yang jauh
di balik buana
bumi bawah.

--

aQIl zahra
batupahatterpahatfeb14
saatberbicaradengansipembisumakna

Tuesday, February 18, 2014

Ulasan Filem CUAK (2014) : Cuak Yang Menempelak

“Ulasan ringkas di Twitter : 
Filem #cuak menempelak hipokrasi pada 
segala makna pada diri dan perhubungan. 
Ia punya suara kuat, hingar dengan herdikan halusnya. 
7.5/10”

Awal-awal lagi, ingin saya pesan. Filem ini bukan untuk kanak-kanak. Ia filem dewasa dengan percikan urbanisme dan liberalisme namun bersifat universal pada sisi anak muda masa kini yang sedang melalui transformasi. Menapak dari satu tingkat kehidupan ke tingkat pengalaman yang lain. Zahirnya ringan dan sensual tetapi persoalannya berat dan kritikal. Terpulang kepada kita mahu memakan ikan gorengan lima pengarahnya - dari ekor atau kepala.

MAKNA CUAK

CUAK. Ada sebab kenapa Imam as-Shafie rahimahullahuta’ala, imam mazhab yang ulung dalam Islam itu memilih untuk masuk ke lubuk Arab pendalaman hampir sedekad meskipun beliau berketurunan Quraisyh yang handal berbahasa. Tidak lain tidak bukan, lantaran beliau faham bahawa bahasa bukan sekadar persoalan teks, tetapi konteks dan subteks makna bagi setiap kalimah yang maujud yang amat penting nantinya dalam menafsirkan kekuras firman. Tidak terkecuali, Bahasa Melayu.

Cuak dalam Kamus Dewan diertikan sebagai takut, cemas dan gentar. Ironinya - takut, cemas dan gentar punya gelojak emosi yang berbeza. Maka, di sinilah datangnya perkataan cuak yang wujud antara takut tak takut sangat, cemas tak cemas sangat, gentar tak berapa gentar – tetapi takut jugalah, cemas dan gentar sekali.

Pendek kata, cuak itu rancu sifatnya. Dan kerancuan inilah menjadi modal dalam filem Cuak yang mengajar kita bahawa cuak itu perlu dalam menimbulkan makna seberapa benar, seberapa jujur dalam apa jua yang diputuskan dalam hidup. Kecuakan menyerlahkan sikap hipokrasi kita yang sering bersembunyi di balik hijab ego atau selendang malu bukan setakat dalam perhubungan sesama manusia, malah turut bertakung di relung diri kita sendiri.

Kita tidak tahu apa yang kita mahu, mengapa kita mahu sehinggalah rasa cuak menolak dan menempelak kita untuk bangun segera mencari dan menekadkan makna dalam apa jua keputusan yang kita sendiri putuskan semisal madah -

"Ketika kita sebutir telur di hujung tanduk,
Barulah sedar di mana kita bertempat duduk!"

Persoalan ini sebenarnya pernah ditimbulkan dalam Untuk Tiga Hari, Afdlin Shauki (2012) pada penghujung cerita di mana Zaibo sebagai bapa telah menempelak Rashidi Ishak sebagai anak yang melibas ibunya atas kegagalan kisah percintaannya. Walhal menurut Zaibo, Rashidi yang bersalah kerana dia punya kuasa untuk bersungguh menidakkan kata ibunya – kalau dia mahu.

Cuak pula melebarkan lagi syarahan tentang persoalan ini. 

Di mana setiap daripada kita bertanggungjawab untuk mencari makna bagi tiap keputusan dalam kehidupan hingga di akhirnya kita sedar – kita perlu tulus dalam berniat, tenang dalam mengingat di saat rasa cuak itu menempelak. Mudah-mudahan, kecuakan akhirnya menghadiahkan selampu kecerahan bagi sebuah perjalanan yang awalnya nampak kabur berhablur.


LIMA PLOT, LIMA GAYA SYOT

Cuak ialah hasil pengarahan lima direktor anak Malaysia - Khairil M. Bahar, Lim Benji, Manesh Nesaratnam, Shamaine Othman dan Tony Pietra. Memang satu Malaysia. 

Tetapi semua ini dusta di saat saya mati-mati ingat kosmopolitan budaya akan digulai oleh mereka, namun yang dimasak jerang ialah kosmopolitan pemikiran insan urban itu sendiri yang resipinya menarik untuk dihidu meskipun kita mungkin tidak bersetuju untuk menjamahnya di luar pawagam, dalam restoran kehidupan.

Satu cerita dengan lima plot menerusi lima pengarahan berbeza bagi setiap plot tetapi masih menjadi satu cerita yang sempurna di mana setiap plot mempunyai fungsi yang tersendiri dalam melatari satu insiden kecuakan.

Insiden di mana Adam, seorang lelaki muslim urban bukan urbanseksual tetapi tampak liberal  namun masih dipercik tradisionalisme yang sedikit masa lagi bakal melafazkan akad nikah dengan Brenda, seorang wanita Cina urban yang baru masuk Islam, yang tahu apa dia mahu – yang sedar lemah kuatnya Adam.

Lima plot umpama lima mangkuk hidangan – nasi panas, daging masak merah, ayam goreng kuzi, sayur kailan, buah tembikai susu dan air sirap selasih dihadam enak di tengah malam yang membahang.

a) Plot di kelab malam dengan pengarahan konvensional penuh sensual tetapi sangat kosmopolitan pemikirannya.

b) Plot di bilik ujian dengan pengarahan yang mengingatkan saya pada filem pendek, INSiDE

c)  Plot inkuiri penyiasatan Mikail dengan pengarahan ala-ala noir tak berapa nak sampai.

d) Plot di rumah sewa Brenda & Nurul dengan pengarahan berkonsepkan The Blair Witch Project yang cemerlang. Lihat ulasan syot cermin Abang Fadz.  

e) Plot di apartment Adam & Brenda dengan pengarahan drama bakal suami-isteri bagi pertembungan Men from Mars, Women from Venus.

Semua plot menjadi inti kepada latar plot asas perjalanan Adam yang bakal akad nikah dengan Brenda di rumahnya.



TEMPELAKAN CUAK DI KELAB MALAM

An-naasu ‘adadu bima jahiluu. Manusia menjadi musuh bagi apa yang dia tidak tahu. 

Mereka sangka dua orang rakan mereka yang pernah menjadi sahabat segelanggang snoker itu telah berubah menjadi manusia yang bosan lantaran mereka telah menjadi pasangan bagi sebuah perkahwinan.

Apa perlu berkahwin, andai para perempuan yang berhias untuk semata-mata menarik lelaki sudah tidak lagi menarik semasa menjadi isteri kerana sudah hilang sebab untuk berhias lagi. Aku dah ada laki, maka buat apa cantik-cantik lagi.

Juga persoalan, mengapa perlu berkahwin semata-mata untuk memuaskan komuniti di luar -keluarga, masyarakat - sedangkan kita sudah berhubungan semacam orang kahwin dah pun. Yang membezakan, kita terikat pada perjanjian harta benda sepencarian yang boleh dituntut kelak andai dilafaz talak. 

Ada banyak lagi persoalan sepelantaran bervariasikan kosmopolitan pemikiran semacam ini dalam plot ini.

Namun kesemua persoalan dibidas di akhir cerita plot itu dengan kata-kata yang mencungkil kebenaran di sisi Reza yang akhirnya mengugurkan buah-buah resah di pohon hati Adam (juga anak-anak muda seperti saya haha). Tontonlah untuk mengetahui jawapannya.

Yang saya tersenyum kambing, apabila elemen sensual yang satu itu diletakkan di hujung kredit. Ops! Seakan mengherdik para penonton – macam nilah korang. Kami buat filem penat-penat, bukan nak tengok kredit para penggiat. 

Dan untuk “menghargai” para penonton yang sanggup sabar tonton kredit, ha – inilah hadiahnya. Plot berbaki di hujung kredit. Ya – suatu kritik bersifat sensual yang bersahaja tetapi dalam makna. 

Cuma bagi mereka yang teliti, bila Iedel Putra asyik gatai ulang yang satu itu – nampak sangat ia akan mendedahkan sesuatu. Ternyata -  di hujung kredit. Haha. Intuisi saya kena! Yeay!

TEMPELAKAN CUAK DI BILIK UJIAN

Ia bukan sekadar lawak kosong. Tahap-tahap ujian yang dinaratifkan menonjolkan betapa elemen keterampilan seorang bakal suami bermula dengan kekuatan fizikalnya hinggalah makin meninggi masuk ke daerah emosi – kesetiaan dan kejujuran dengan menjadi diri sendiri.

Di hujung, paling menarik. Apa penting Adam perlu serasi dengan Mr Wong di ujian paling akhir? Sebenarnya ia mengherdik para pasangan di luar sana; kita berkahwin bukan dengan seorang sahaja, tetapi kita bernikah dengan satu keluarga. Mampu menerima perbezaan dan kepelikan tradisi dan minat keluarga yang dikahwini sebagaimana mampu menerima persamaan dan kebiasaan mereka seperti falsafah Sun Tzu yang mahsyur itu. Bagaimana musuh bisa menjadi kawan, di saat perbezaan jika pandai diuruskan bisa jadi kekuatan tak terkalahkan.

TEMPELAKAN CUAK DI DAPUR KEHABISAN TELUR

Ini terbaik. Sekarang saya faham kenapa ada cerita pasangan suami isteri yang hampir bercerai kerana masalah ubat gigi atau kerana masalah susunan kasut di rak. Itu satu. Bezanya lelaki dan perempuan, jejaka dan wanita. Dan perbezaan itulah yang melengkapkan – hakikatnya.

Namun paling menarik persoalan larangan azan di Pulau Pinang yang dibalas Adam dengan wajah bicara yang begitu sinikal.

“Have you ever thought even a second that the azan is just too loud?”. Adam menyoal.

Brenda menahan geram, marah sambil “confused” dengan Adam yang sudah lama Islam tetapi bersikap sedemikian kejam pada pegangan dan sensitiviti akan agamanya itu sendiri.

“Never! Not even once.” Balas Brenda sepenuh rasa. Dan bermulalah persoalan yang maha berat, namun mencungkil segala makna yang tersirat bagi sebuah pengorbanan – I’ve sacrificed a lot for this, Adam.

Soal Brenda, “What makes so different if we marry without I convert when you don’t seem to have faith in your own religion?”

Brenda keluar. Saat dia balik, telur yang nampak macam belum cukup 20 biji itu – menjadi modal kemaafan bagi sebuah pertengkaran di mana Brenda mulai mengerti kelemahan Adam dalam menjadi imam bagi perubahan yang Brenda inginkan di mana kemasukannya ke dalam Islam itu bukan main-main. Sesuatu yang sungguh. Dan dia perlu menerima kelemahan Adam itu seadanya.

Lantaran kuatnya plot ini – maka kami, para penonton yang hadir walaupun beberapa kerat secara spontan telah bertabik hormat, tepuk tangan kuat-kuat. Terbaik!



KELAINAN

Kebiasaan cerita yang menggabungkan banyak tuan direktor ini selalunya terpisah penceritaannya seperti Kolumpo (2013) mahupun cerita-cerita dari Tanah Siam dari 3 AM (2002) hingga Home (2012) juga sinema Bollywood semisal Shorts (2013) dan Bombay Talkies (2013).

Namun kali ini, Cuak menghadiahkan sinema lokal dengan suatu yang tampak bersifat eksperimental yang hampir sempurna kejayaannya. Setakat berbeka-beka dengan Abang Fadz - kalau tidak pun di dunia, tapi yang pastinya di Malaysia, penghasilan sebegini belum ada. Kalianlah pasukan produksi yang mengunggulinya. Tahniah!

Kelainan yang lain, filem ini juga mengingatkan kita dengan permainan selang masa, time lapse persis Momento (2000) dan Cloud Atlas (2012). 

Pada mulanya, saya mati-mati ingat ianya sekadar imbas kembali, flashback yang biasa – namun setelah ditipu hidup-hidup, saya melihat sisi kemas filem ini dalam meletakkan tiap-tiap plot yang “to be continued” itu yang bermula dengan “latar”, “konflik”, “klimaks” dan akhirnya “resolusi”. 

Sebagaimana ada orang telah menyusun dan menganyam semula Momento mengikut selang masa yang “betul”, maka saya harap ada juga yang rajin mengedit cantumkan semula jigsaw bagi tiap plot dalam Cuak ini nanti. Hihi.

Apapun, Cuak seharusnya menjadi permulaan yang baik bagi para direktor berlima dan keseluruhan krew bagi meneruskan proses benar-benar membangunkan sinema lokal selepas KIL (2013) dan Kolumpo (2013). Teruskan. Dengan idea lebih besar dan segar. Jangan pernah cuak dengan nasib Cuak! Kami amat menghargainya.

7.5/10 di belakang sedikit dari Kolumpo 8/10 :) 

--

Usai perjalanan pulang di atas sepeda, saya terilham. Patutlah Tuhan buat kita cuak semasa maut (nanti tetapi pasti), untuk menyerlahkan dan mendedahkan siapa kita di sisi dunia, di tepi akhirat.

Sekian.

Ditonton pada 9.20pm, Sabtu – 15 Febuari, TGV Wangsa Walk.

Diterbitkan di http://www.cuakmovie.com/#!press/c1279 

Sunday, February 2, 2014

Ketika Kenangan berKata-kata

Sehelai daun perang,
Gugur dari kayangan,
Apa itu rasa sayang,
Tak tergambar akal bayangkan.

Sehelai daun perang,
Luruh dari dahanan,
Gapai bila datang,
Lepas kita jangan!

Sehelai daun perang,
Luruhnya segan-segan,
Adatnya orang bertandang,
Balasnya perlahan-lahan.

Sehelai daun perang,
Hinggap atas bangku,
Tenang kanda tenang,
Bayang saja dinda berteleku.

Sehelai daun perang,
Bukti alam musim berubah,
Diri tak terbayang,
Boleh pantun sebegini tabah!

Sehelai daun perang,
Nilainya hanya segenggam,
Tanda layang khabar sayang,
Tinggalkan ucap selamat malam.



Akulah budak 
diberus debukohongkelabu
yang tidaktahugimana mempernampak
perasaan yang sedemikianlamaterbuku itu.

Naluri intuisimu, Cinta - itulah kunci yang jitu
membuka baca buku yang terbenamdalam
gelojak hati sedemikianlamadiam
dalam diri budak itu.

aQIl zahra
semalamdiamdiranahpendam
difebruaridua'14

Sebarkan Manfaatnya! :)