Thursday, October 30, 2014

ULASAN PUISI TULANG KATA TAUFIQ AZHAR & JAULAH SAMPAI SYURGA MUZ AHMAD

REBIU SEMBILAN PULUH SEMBILAN PUISI TULANG KATA

Aku sengaja membiarkan kata-kata menghiris aku nipis-nipis saat rinaian gerimis menerabas Subang Jaya. Seketika aku jadi anjing yang mengonggong tulang belulang kata-kata tulang kata, terkadang dipaksa, terkadang bersahaja - apapun, berbisa. 

[TEMPAH SINI]
Lelaki puisi ini melazimi carutan Kau, Perempuan; Kiri dan Kanan, pada jujuhan Geming tak tersurut yang memasangkan Jalang yang melaut. Antologi ini bergerak perlahan dengan rayu cumbu Cinta sebelum menderak seberapa laju dengan tukulan demi tukulan pada sebuah keAkuan yang Bangun dari pembaringan yang asing. 

Aku dikelar juga dipenggal dengan parang karang "Satu", "Keluarga", "Duli Yang Maha Tudung", "Seks", "Babi", "Maju Lagi", "Si Tua", "Perihal Bakal Ayah Ibu" sebelum aku mati terkalang pada palang tulang kata "Untuk Semua Jenis Guru". 

Sepeninggalan aku dalam pustaka pembacaan indie, ini antara antologi puisi indie terbaik tahun ini. Untuk buku sulung, aku bisa beri 8/10. 

Tahniah @ruangpuisi moga terus berani menelanjangkan kami!

JAULAH SAMPAI SYURGA, RAMA-RAMA PERTAMA MUZ AHMAD

Berjerihan memacu sepeda untuk mengusap naskhah awal Tanah Tanpa Peta di tangan pereka bentuk yang semakin menempa nama, Rasydan Fitri; membawa aku kepada naskhah awal Jaulah Sampai Syurga untuk aku selak baca.

Jujur, pemuisi muda ini punya suara puisi yang kuat antara kemunculan makna yang tinggi menegak berlantaikan teteknik puisi yang lebar melintang.

[TEMPAH SINI]
Sajak pertama CATAN I punya citra seni lukis yang mantap sambil menyentap dalam mempamerkan tema "kembali kepada fitrah setelah berliburan digelumangi jahiliyyah menerusi lebuh raya tarbiyyah". Muz Ahmad antara pemuisi muda yang berjaya lahir dari kepompong beluncas madrasah Imam Hassan al-Banna rahimahuallahuta'ala dengan segala mala rukun bai'ah yang sepuluh dan mantra-mantra usul dua puluh yang disusun muluk-muluk dalam puisi-puisi beliau. Puisi-puisi itulah rama-rama Muz Ahmad yang mulai berterbangan di taman penulisan negara.

"Rama-rama" kesukaan aku (dan Rasydan Fitri) ialah WUDUK.Terbahagi kepada tiga rangkap. Rangkap pertama menangkap makna dosa di tiap anggota wuduk secara tertib. Rangkap kedua menolak pendosa ke rumah Tuhan. Rangkap ketiga singgah di pili air untuk mengairi debu-debu dosa di tiap anggota wuduk secara tertib kembali. Inilah penggabungjalinan makna dan teknik sastera yang erat menjadikan puisi ini padat dan ketat.

Hebatnya Muz juga kerana berjaya dan konsisten mengangkat tema ukhwah yang manis hingga jadi begitu puitis. Satu tema yang jarang-jarang pemuisi tanah air bisa bertali-tali menulisnya. Namun di tangan Muz Ahmad, ia menjadi kuras terindah sebagai warkah kepada teman seperjuangan.

Jaulah Sampai Syurga juga punya latar Jepun yang begitu sebati di ceruk-ceruk sakura, di pojok-pojok salju yang begitu indah dalam imaginasi nan rancu tetapi terkawal dengan makna yang membawa kita mengenal kebenaran dan kebaikan dari teropong keindahan seni kesusasteraan Melayu moden dan tradisi Jepun asli.

Cikgu Gaza adalah sesuatu yang menggemparkan dari Muz Ahmad. Ia menampilkan sesuatu isu yang biasa (tepu mungkin?) dengan wajah citra yang seingatan aku terlalu jarang (mungkin juga belum pernah) digunakan untuk mentamsilkan gegak gempita yuda Palestin-Israel. Lebih mengkagumkan, bukan satu dua puisi - malah bertali-tali puisi dengan citra yang sama namun sudut pandang yang berbeda. Ini menarik dan bisa jadi modal untuk menarik kalian ke daerah Gaza dengan kaca mata yang baru.

Akhir kalam, jangan lupa dapatkan tiket ke Taman "Jaulah Sampai Syurga" sambil menikmati rama-rama puisi pertama Muz Ahmad.

Tahniah!

9/10

No comments:

Post a Comment

Sebarkan Manfaatnya! :)