Wednesday, June 4, 2014

ULASAN FILEM ABANG LONG FADIL (2014) – MEMBEDIL STRATA SANG ZALIM



“Gua tak faham kenapa lu mati-mati 
pertahankan kampung ni.
Lu dah la tak ada tanah kat sini.
Tapi gua respek sama lu.
Masih ada orang tua Melayu yang berani 
mempertahankan hak dan kebenaran.”

Ketika Shark, watak Syamsul Yusof dalam filem terbaru arahan adiknya, Syafiq Yusof yang baru berumur awal 20-an itu menghamburkan kata-kata ini, ingatan aku telah diterbangkan ke sosok-sosok tubuh semisal Tuan Guru Nik Aziz, Tuan Guru Haji Hadi, Lim Kit Siang mahupun Mendiang Karpal Singh ketika zaman muda mereka. 

Ya, ia suatu yang pelik pada ketika itu untuk menentang pihak establishment di saat Barisan Nasional dipertontonkan begitu sempurna di dada-dada media semisal watak “Tuhan” Wilford dalam Snowpiercer (2014) [KLIK ULASAN SAYA] di mana tanpa Mr. Wilford, satu umat manusia yang masih tinggal akan kebekuan mati.

Tambah memelikkan, sosok-sosok ini menentang kezaliman sejak berdekad-dekad lamanya tetapi tidak mempunyai kepentingan peribadi semisal watak Haron lakonan Harun Salim Bachik yang tidak mempunyai tanah di Kampung Berani, cuma sekadar menumpang di rumah adiknya dengan hanya membuka kedai roti canai di kampung (baca : Kampung Baru) itu. 

Namun, Haronlah satu-satunya insan dalam kalangan golongan veteran, meskipun lemah tetapi dia menggagahkan diri dengan sedaya upaya membeliakkan mata masyarakatnya terhadap hak mereka yang dirampas jerung-jerung kapitalis merangkap politikus yang menikus di belakang samseng-samseng umpama pucuk leban gading gajah, bekerja segan makannya gagah.

Tamsilan Kampung Berani dalam filem Abang Long Fadil (2014) ini ternyata berjaya mewakili nasib malang bukan sekadar Kampung Baru tetapi juga Kampung Chubadak, Kampung Bandar Dalam, Kampung Hj Abdullah Hukum dan Kampung Padang Balang di ibu kota selain Kampung Batu Uban dan Kampung Tanjong Tokong di Pulau Mutiara - yang menerima nasib yang serupa dalam lipatan sejarah tanah air.

Hal ini mengingatkan aku pada larik-larik Bonda Zurinah Hassan, menerusi puisi "Cerita Rumah Kami" dalam Antalogi Cerita Dalam Cerita pada rintik rayu akhir yang bernada melankolik sambil menjentik-jentik kita -

.....

Dan ketika aku dewasa
semua kediaman berbatu bata
dengan penyaman udara
banglo besar, deret atau berkembar
tetapi semestinya lebih selesa
dari generasi ke generasi
manusia mendaki ke taraf tinggi
kata Darwin dalam teori evolusi
sepatutnya begitu selepas aku
tetapi anakku
naik ke apartmen bertingkat-tingkat
cucu-cicitku bagaimana pula
bila harga rumah terus meningkat
dan tanah sudah terhad?

Maka kami pun berdoa,
Ya Allah kurniakan kami
pemerintah yang berhemah
agar bangsaku tidak menjadi
bangsa tidak berumah.

M/S 3-4, Cerita Dalam Cerita, Zurinah Hassan (2014), ITBM


Filem Abang Long Fadil Mula Tayang 29 Mei, Bukti Zizan Razak Lebih Popular Daripada Aaron Aziz

SEIMBANG ANTARA KRITIKAN DAN KEHENDAK PASARAN

Sesuatu yang mahal dalam penghasilan filem ini ialah keupayaan Syafiq Yusof menyeimbangkan antara kritikan dengan kehendak pasaran. 

Di negara antah berantah ini, terkadang seorang pengarah terlalu mahu menjulang kritikan hingga buta pasaran. Kritikannya maha dalam, tetapi wajahnya suram. Tersekat di zaman putung berasap. 

Di pojok yang lain pula, seorang pengarah terlalu mahu berhias dengan segala macam tatarias, sehinggakan isinya kosong lagi kohong. Sampah. 

Dan di negara antah berantah ini, pusaran itu masih sama. Antara terlalu mengejar pasaran dengan mengorbankan pemikiran. Juga, terlalu menghambat pemikiran dengan membunuh citarasa pasaran. Akhirnya karam, terkubur tanpa nisan.

Tetapi Syafiq Yusof, anak muda - gen-Y menyangkal hal ini. Beliau tahu citarasa anak muda (lebih tepat rakyat Malaysia marcapada). Sebab itu, malam sebelum tayangan rasmi, panggung penuh dan hampir muntah. CGI yang tidaklah sempurna tetapi tidaklah nampak cacat, elemen Kung Fu Hustle (2004) Stephen Chow yang wow - kau berjaya salin produksikannya hampir sempurna - merupakan eksploitasi teknik-teknik terkini yang bisa memikat anak-anak Malaysia yang tak berapa nak ada jati diri itu ke panggung. 

CERITA KETAT

Antara lain yang aku gemar dan tepuk tangan ialah ceritanya yang ketat. Yang aku maksudkan dengan ketat ialah tidak ada plot yang terbazir dan semuanya punya makna dan sebab yang kuat - kenapa aku kena syot macam ini, kenapa kena ada plot yang ini. 

Misalnya, ketika ayah si Adam (Kamal Hadi - aku tak pernah perasan kau walaupun aku tahu kau terkenal di TV, sehinggalah aku lihat kau dalam filem ini - lakonan kau indah, wallah!) mati terbakar, cara yang sama Kimar dibakar. 

Ini ialah karma - pembalasan makar. 

What goes around, comes around. 

Malah, keterbalikan nama Karim (yang bermaksud mulia - sebagaimana Karim memang mulia sebelum nafsunya meraja) kepada nama Kimar sesuatu yang sesuatu. Ini indah - kerana apabila sesuatu huruf dikasrahkan dalam Bahasa Arab yang mana asalnya difathahkan atau didhommahkan (baca : i'rab); selalunya ia bersifat menghina. 

Contohnya, hanya ada satu tempat dalam al-Qur'an di mana Allah Ta'ala tidak memanggil Bani Israel sebagai Bani Israel sebaliknya Banu Israil kerana di tempat di mana Allah Ta'ala memanggil kaum itu dengan Bani Israel dengan maksud Allah Ta'ala menghina mereka sebaliknya ketika Allah Ta'ala memanggil dengan nama Banu Israel - itu di saat mereka benar-benar beriman tanpa sebarang syak wasangka kepadaNya. 

Samalah - cuma yang beza, Karim tidak ku lihat sebagai Kurim tetapi sebagai makna asal Karim yakni mulia. Dan Kimar sebagai panggilan sesuatu yang hina - setelah dia memilih untuk menjadi keji. Lihatlah sendiri dalam filem ini.



Kehadiran pelakon-pelakon dewasa (nak cakap veteran, macam masih muda) semisal A. Galak (Sarjan Misai), Arman Graseka dan watak Karim/Kimar (maaf, pak cik - tak tau nama; dah google tak jumpa sob sob) - seakan memberitahu bahawa gandingan lama dan baru masih perlu; tinggal lagi ramuannya harus padu dan seru. 

Masih banyak lagi aku mahu tulis, namun kebanyakannya sudah dinukil cantik oleh Kekandaku Abang Fadz di sini [KLIK] dan tidak perlulah aku mengulanginya. Secara keseluruhan ini kataku -

"#AbangLongFadil satu karya ketat yang berjaya keluar dari kebodohan filem lokal masani ke kebijaksanaan yang memucrat.

Elemen realisme dan surreal yang mengarus diriakkan dengan kritik sosial (juga subtle politics) dan kritik sinema yang menggugah pelbagai strata insan yang bangkit dari kecut perut ke berani hidup, berani mati (agi idup agi ngelaban) memukul generasi hari ini untuk berani membuat perubahan dengan cakna pada permainan semasa hatta dalam industri layar perak dunia di mana Kung Fu Hustle versi Malaysia ini berjaya menjulang dengan cemerlang. 


Aku puas. 


Untuk awam yang kurang bisa gali subteks, mungkin 8/10.


Tetapi bagi ku, peribadi - 10/10.


Tahniah. Teruskan mengaum, Tuan Sutradara Muda!"


Ketika aku meletakkan rating sebegini, Kekandaku Abang Fadz menyoal - 8/10 itu terlalu tinggi buat saya. 

Ini sedikit menempelak. 

Namun, terusku membalas.

"Mungkin saya terlebih eksaited (baca : bangga) lantaran melihatkan perak 
di kalangan timah yang disangkakan emas."

Ya - umpama sepuluh orang budak di kawasan pendalaman Sarawak memperoleh 9A Plus dalam SPM; pastinya berita itu lebih gegar berbanding seratus orang budak peroleh keputusan yang sama di Kuala Lumpur.

Apapun, Syafiq Yusof punya kelas tersendiri. Dia perlu terus mendaki. 
Barangsiapa menghalangnya, ternyatalah mereka keji dan busuk hati.

Sekian, aku memeri.

*Maaf, patutnya aku langsaikan ulasan ini usai tontonan. Tetapi, kerja masyaAllah terlebih kuat mengejar. Dan ulasan ini tersadai setelah seminggu menonton. Maaf, andai kurang rencah resipi seperti selalu. Huhu.

No comments:

Post a Comment

Sebarkan Manfaatnya! :)