Thursday, October 31, 2013

DAPATAN RINGKAS FORUM BAJET 2014 UNIVERSITI MALAYA

Panelis :


Tan Sri Datuk Dr Kamal Salih (bekas MP Wangsa Maju 1995, PHD Penn Uni)

Prof Dr Rajah Rasiah (Faculty Dean, PHD Cambridge Uni)

Dr. Nungsari Ahmad Radhi (Khazanah, PHD Purdue Uni)

Dr. Dzulkifli Ahmad (Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, PHD Imperial College)

10 DAPATAN MENARIK :
*Segala statistik diambil terus daripada dapatan forum, tidak melalui pemeriksaan semula kepada data asal/rasmi. Kebanyakan mungkin hanyalah anggaran kasar semata-mata. 

1. Bajet 2014 merupakan bajet yang ada pro dan kontra. Yang paling jelas bajet ini tidak dapat menyembunyikan lagi beban hutang negara yang begitu membimbangkan di mana hutang negara sudah menghampiri siling 55% daripada GDP (KDNK). Jumlah KDNK negara kita menghampiri RM 1 trillion. 

Kalau dicampur dengan hutang isi rumah yang berjumlah 86% daripada KDNK, maka negara berhutang sudah melebihi kadar 120% daripada KDNK. Bermaksud, negara mempunyai beban hutang melebihi daripada RM 1 trillion jika dicampur kedua peratusan itu. 

Dalam erti kata lain, seorang rakyat menanggung hampir RM 60 ribu beban hutang. Tambah membimbangkan, kadar pendapatan tidak begitu meningkat dan rakyat tidak begitu merasakannya kerana selama ini ia ditampung oleh subsidi yang tinggi. 

2. Bajet kali ini dikhabarkan dirangka dalam menuju ke arah bajet berimbang menjelang 2020. Ini boleh dicapai andai kata isu yang paling fundamental yakni komitmen kerajaan sendiri dalam menutup secara serius ruang-ruang ketirisan dilaksanakan dengan bersungguh. 

Dasar jimat-cermat Amerika Syarikat misalnya dalam menampung ruang-ruang ketirisan telah berjaya mengatasi hutang negara mereka sebanyak 20% dengan kadar penjimatan.

Pakatan Rakyat menjangkakan andai kata kerajaan BN serius dalam hal penjimatan dan sesifar mungkin ketirisan, kita mampu mencapai peratusan 24% dalam membiayai hutang negara hanya melalui usaha penjimatan. 

3. Kadar produktiviti negara berada di tahap yang rendah. 

Dari satu segi, saiz kakitangan kerajaan juga amat besar merangkumi 1.4 juta pekerja berbanding sekitar 1 juta pekerja pada tahun 2009. Ini menambahkan beban operasi dalam sektor kerajaan. Maka, adalah amat mustahak produktiviti dalam kalangan kakitangan kerajaan diperkasakan. 

Tambah memilukan, nilai keuntungan yang diperoleh dalam sesuatu ekonomi di Malaysia hanya dimiliki oleh para pekerja sekitar 28% di mana baki 72% dimiliki oleh para kapitalis. Berbeza dengan negara-negara maju di mana para pekerja memiliki peratusan keuntungan sekitar 50-54% daripada sesebuah perolehan ekonomi.

Misalnya, keuntungan syarikat katakan 1 juta ringgit. Dalam konteks Malaysia, hanya 280 ribu ringgit yang diperoleh oleh para pekerja sedangkan para kapitalis memperoleh 720 ribu ringgit; sedangkan di negara maju, para pekerja memperoleh sekitar 500 ribu ke 540 ribu ringgit dari sudut gaji/bonus dan sebagainya. 

Ini menunjukkan agihan ekonomi dalam kalangan kapitalis-pekerja di Malaysia masih di tahap tidak seimbang dan terzahir dalam Gini Coefficient negara yang tidak mengalami begitu banyak perubahan.


4. Kita juga tidak memasukkan "contingency liability" dalam pengiraan kadar hutang kepada KDNK.

Jumlah hutang kerajaan yang bersifat "contingent liability" ialah seperti hutang kerajaan dan swasta yang dijamin kerajaan termasuklah projek MRT di mana hutang diperolehi melalui bon yg dijamin oleh kerajaan. Sedangkan kos operasi sudah mula berlangsung walaupun projek itu belum lengkap, namun angkanya tidak kita masukkan dalam pengiraan hutang yang menjadi asas kepada bajet itu sendiri. 

Secara dasar, dicadangkan agar kerajaan menggunakan kaedah akrual dalam dasar perakaunan negara bagi mengelakkan tuntutan bajet tambahan yang saban dibentangkan ke Parlimen tahun sejak 2009 berlaku. 

Ini juga antara komitmen yang kerajaan BN wajib komited. Hentikan tuntutan bajet tambahan yang berjumlah sekitar 20 billion setiap tahun yang seakan sudah menjadi tradisi kebelakangan tahun ini.

Paling menyedihkan, apabila yang diusulkan itu ialah wang yang sudah dibelanjakan! Amalan ini harus diberhentikan andai kerajaan BN benar-benar serius untuk mencapai target bajet berimbang menjelang tahun 2020.

5. Kesemua panelis pada dasarnya bersetuju dengan GST yang ternyata lebih baik sistemnya berbanding SST dari sudut kutipan, agihan dan sebagainya (broaden the tax base). 

Namun, yang menjadi titik pertikaian ialah cara bagaimana GST itu dilaksanakan. 

Misalnya, dengan keadaan pendapatan rakyat tidak meningkat dan tiada komitmen yang jelas daripada kerajaan untuk mengatasi ketirisan, kita bimbang sistem cukai terbaik sekali pun diguna pakai tidak akan menyelesaikan masalah ekonomi negara. 

Diskusi peribadi selepas forum bersama Dr Dzul misalnya mendedahkan Pakatan Rakyat tidak menentang GST bukan kerana ]sistem GST itu tetapi kerana kadar GST 6% pada awal-awal perlaksanaannya lagi ternyata amat menekan rakyat.

Singapura misalnya mengenakan GST pada takat 3% selama hampir sedekad sebelum menaikkan kadar GST berkenaan. Ini juga praktis di negara-negara lain. 

6. Malaysia juga menghadapi masalah tekanan gaji (wage depression). Ini terhasil dengan kebanjiran pekerja asing berkemahiran rendah. Ini mengakibatkan kurangnya insentif kepada industri untuk menaikkan gaji. Ini kemudiannya mengakibatkan kenaikan gaji di Malaysia berada di tahap yang minimum. 

Di samping itu, kebanjiran pekerja asing berkemahiran rendah tidak membantu pemindahan teknologi dan kepakaran sebagaimana yang diharapkan. Selagi Malaysia masih tersekat sebagai pemain industri tambah nilai (value-added industry) semata-mata, selagi itu Malaysia akan berada di takuk yang sama pada hari ini.

Malaysia memerlukan janaan ekonomi pulangan terus secara lebih serius (increasing return economy).

7. Pada sekitar 70-an, KDNK Korea hanyalah suku daripada Malaysia. Pada hari ini, KDNK Korea bernilai empat kali ganda daripada Malaysia. Bagaimana ini boleh terjadi? 

Antaranya ialah fokus kedua-dua kerajaan ini berbeza. 

Korea menumpukan kepada kualiti pertumbuhan ekonomi yakni bagaimana pertumbuhan ekonomi itu dijana dan mampu bertahan dalam jangka masa yang lebih lama. Berbeza dengan Malaysia yang memfokuskan dan begitu obses dengan kadar pertumbuhan ekonomi yang hanyalah merupakan praktis perakaunan semata-mata yakni tidak menunjukkan perbezaan ekonomi sebenar dan ekonomi potensi yang nyata. 

Generasi anak muda wajar sedar hal ini. Fokuskan kepada kualiti pertumbuhan negara bukan kadar pertumbuhan yang hanya sekadar permainan silap mata semata-mata. 

8. Praktis kewangan negara amat pelik. 

Antaranya bagaimana seorang Perdana Menteri dalam masa yang sama boleh menjadi Menteri Kewangan. Dalam mana-mana syarikat, tidak pernah terjadi CEO dan CFO-nya itu orang yang sama. Ini penting bagi menjamin ketelusan pengurusan kewangan di samping pengurusan sesebuah kendaliaan organisasi itu berjalan dengan penuh berhati-hati melalui elemen "check and balance". 

Praktis cukai kereta yang tinggi juga masih belum dapat diselesaikan. Rakyat terpaksa meminjam untuk membeli sesuatu yang susut nilainya sehingga sifar sebelum pinjaman itu sendiri habis. Malah kita meminjam untuk membayar cukai yang ternyata menyalahi prinsip asas kewangan! 

Nilai kereta susut selepas 5 tahun dengan kadar purata susut nilai (depreciation) 20% setahun. Tetapi kita biarkan pinjaman sehingga 9 tahun kerana rakyat tidak mampu bayar. 

Cukai kereta yang tinggi ini melambangkan betapa tidak peka kerajaan BN terhadap prinsip fundamental kewangan.

9. Hujah tarik subsidi gula untuk kesihatan suatu hujah yang dangkal - wajar diberhentikan. Walaupun Tan Sri Dr Kamal mengiakan hujah ini atas dasar ia bagi mengurangkan beban subsidi perubatan di masa hadapan tapi ia telah dijawab balik oleh Prof Dr Rajah, permintaan gula bersifat kurang anjal (inelastic demand), oleh itu sebarang kenaikan harga kerana kurangnya subsidi tidak membawa perubahan sangat kepada kuantiti pembelian gula. Kalau benar hendak atasi isu diabetes, ia melalui gaya hidup yang lebih sihat bukan melalui mekanisme harga. 

10. Cuma, kelemahan yang ketara bagi pihak kerajaan BN ialah kita masih memfokuskan kepada kadar pertumbuhan bukannya pengagihan ekonomi yang efisien dan optimum kepada rakyat terbanyak. 

Kesemua panelis bersetuju bahawa Malaysia memerlukan kepada sistem pengurusan ekonomi yang lebih "socially just" berbanding "higher growth" semata-mata. 

Laporan "Social Cost Benefit" perlu segera diwajibkan bagi mana-mana projek kerajaan sebagaimana amalan praktis berhemah di negara luar.

Sekian melaporkan.

Terima kasih kepada Mahasiswa UM atas penganjuran forum yang terbaik ini. Teruskan inisiatif bagus ini! 


Yang benar,
Za'im Yusoff 
Wangsa Maju

Sebarkan Manfaatnya! :)