Thursday, May 30, 2013

Pantun Rindu Berangkai : Sinar Fajar Pelangi Terlukis






Sinar fajar pelangi terlukis,
Awan bertinggung di langit biru,
Hati getar mata pun menangis,
Tidak tertanggung hati merindu.

Awan bertinggung di langit biru,
Terbang kekicau beburung riang,
Tidak tertanggung hati merindu,
Hati oh risau bukan kepalang.

Terbang kekicau beburung riang,
Bertenggek manja di dahan panjang,
Hati oh risau bukan kepalang,
Khabar di sana adakah tenang?

Bertenggek manja di dahan panjang,
Nampak pelangi makinnya pudar,
Khabar di sana adakah tenang?,
Sedang di sini menunggu benar.

Nampak pelangi makinnya pudar,
Awan berbalam biru yang gelap,
Sedang di sini menunggu benar,
Di dalam diam di dalam senyap.

Awan berbalam biru yang gelap,
Guruh berdentum kilat menyabung,
Di dalam diam di dalam senyap,
Di dalam senyum cinta menggunung.

Guruh berdentum kilat menyabung,
Hujan menyiram bumi pun subur,
Di dalam senyum cinta menggunung,
Rindu dan dendam sehingga kubur!

Rajuk*,
4.36 petang,
30 Mei 2013


---


*Dalam bercinta, rajuk itu ada masanya perlu. Tanpa rajuk, tiada bujuk. Tanpa bujuk, tiada rayu. Dan tiada siapa yang membujuk dan merayu jika si pemujuk tidak mempunyai rasa dari jiwa. Rasa dari jiwa itu terbit dari sebuah kecaknaan dan kepedulian yang amat. Tahap kecaknaan dan kepedulian yang paling tinggi itulah namanya cinta. 

Maka, sesiapa yang bercinta, ada masanya perlu merajuk. Kerana rajuk itu isyarat dan alamat cinta - bahawa rasa dan makna yang disekat-sekat daripada diluahkan dek keterbatasan masa dan tempat - akhirnya terluah dengan sebuah rajukan.

سبحان الله وبحمده، سبحان الله العظيم

سبحان الله والحمدلله ولا إله إلا الله والله أكبر

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

No comments:

Post a Comment

Sebarkan Manfaatnya! :)