Wednesday, September 19, 2012

Pantun Berkeluh Kesah Mengambil Kisah


Aduhai...

Main langgar sampan terkolek,
Terjongkang-jongket membolak-balik,
Kalau benar ikhlas mendidik,
Tiada diungkit walau sedetik!

Lelunyai...

Tiang serombong sukar dibentur,
Habis bercucur peluh terhoyong,
Menuduh sombong tiada menegur,
Tiada menegur itulah sombong!

Alahai....

Alahai gila lorongnya sulit,
Meski waima laut membujur,
Sejaknya muda otaknya sempit,
Sampai ke tua matanya kabur!

Aduhai...

Wahai sang muda itulah ragam,
Perlu perhati sang tua ini,
Agar tibanya waktu nan agam,
Tak kau lazimi gaya begini!

Amin!

Ingatlah gurindam pasal yang kesembilan;
Tua manakah mulia,
Muda manakah bahgia :-

“Adapun orang tua yang hemat,
syaitan tak suka membuat sahabat
Jika orang muda kuat berguru,
dengan syaitan jadi berseteru.”

Ingatlah juga gurindam pasal pertama;
Khulasah segala isinya hidup,
Selagi mata berkedip redup :-

“Barang siapa mengenal dunia,
tahulah ia barang yang teperdaya.
Barang siapa mengenal akhirat,
tahulah Ia dunia mudarat.”

Bukankah bahgian dunia akan manusia nan culas,
Perlukah jasamu diharap mereka membalas?

“Barang siapa mengenal diri,
maka telah mengenal akan Tuhan yang bahri.”

“Ingatkan dirinya mati,
itulah asal berbuat bakti.
Akhirat itu terlalu nyata,
kepada hati yang tidak buta.”

---
Lubuk hati muda bergelora,
Mencari makna drama Sang Tua;
12.28 tengah malam,
Jumaat, 20 Syawal 1433 H


سبحان الله وبحمده، سبحان الله العظيم

سبحان الله والحمدلله ولا إله إلا الله والله أكبر

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه اجمعين وسلم

Tuesday, September 18, 2012

Madah Membaca Dan Berguru



Ramailah orang membaca buku,
Namun tiada tahu-menahu,
Lantaran tiada mendamping guru,
Meraba-raba di dalam tahu.

Adapun terpuji buku dibaca,
Ibarat sudah minum secamca,
Namun jikalau guru dia jumpa,
Ibarat hirup air sebelanga.

Andai berguru tiada membaca,
Menjadilah dia insan biasa,
Andai membaca tiada berguru,
Menjadilah dia mudah keliru.

Sedang berguru juga membaca,
Menjadilah dia ahlinya ma'na,
Mengenal Tuhan dari pangkalnya,
Bahagia tenteram jaya sentiasa!

7.10pm
September 18, 2012
Medan Selera Rohani,
Kampung Pusat,
Ibu Kota.


سبحان الله وبحمده، سبحان الله العظيم

سبحان الله والحمدلله ولا إله إلا الله والله أكبر

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه اجمعين وسلم

Thursday, September 13, 2012

Maksud Hafizahullah etc?

Secara ringkas, maksud

حَفِظَهُ اللهُ تعالى 

atau sering dieja orang dengan Hafizahullahu ta'ala ialah : 

[Semoga] Allah SWT senantiasa menjaganya 

Ia sama seperti 

رَضِيَ اللهُ عَنْهُ  

Rodhiya Allahu 'anhu yang bermaksud : 

[Semoga] Allah SWT senantiasa meredhai akannya

Atau boleh juga dibaca dengan maksud Allah SWT telah meredhainya sebagaimana para sahabat ajma'in yang telah diredhai Allah SWT atau para 'alim ulama' yang sudah maklum martabat dan sumbangan mereka yang zaman-berzaman senantiasa bermanfaat buat ummat.

Manakala, maksud

 رَحِمَهُ اللهُ  

 atau sering dieja orang dengan Rahimahullah bermaksud : 

[Semoga] Allah SWT senantiasa merahmatinya 

Telah berkata al-Fadhil al-Ustaz Raja Ahmad Mukhlis Hafizahullahu ta'ala dalam sebuah statusnya :


Begitulah ulama' mengajar kita akan adab untuk senantiasa berdoa kepada mereka yang telah mendidik kita. Dari doa yang terkandung dalam selawat buat al-Habib ar-Rasul صلى الله عليه وآله وسلام sehinggalah para sahabat ajma'in dengan doa 'Rodhiya Allahu ajma'in' kemudian para imam dan ulama' muktabar dengan doa 'Rahimahullah' sehinggalah ulama yang masih hidup dengan doa 'Hafizahullah' :)

Sungguh - darjat doa ini jauh mengatasi anugerah Datuk, Tun mahupun Tan Sri - sebaliknya anugerah doa adalah gelaran berbentuk amalan yang membawanya terus ke hadrat Illahi :)


سبحان الله وبحمده، سبحان الله العظيم :)

اللهم إن نسألك حب من يحبك! :)

Sporting Gangnam Style?

Apa maksud 'sporting'?

DARI SEGI BAHASA [LUGHATAN] :

Carian "define : sporting" menunjukkan maksudnya ialah :

Fair and generous in one's behavior or treatment of others

Adil dan bertimbang rasa dalam perlakuan seseorang atau layanan terhadap orang lain

DARI SEGI ISTILAH [ISTILAHAN] :

Inilah yang perlu ditakrifkan. Adakah ia 'sporting' apabila seseorang itu bertolak-ansur dalam maksiat yang dizahirkan, misalnya menari bagai nak rak sekalipun bertudung kemudian YouTube-kan beri satu dunia nampak?

Atau 'sporting' itu - memanfaatkan ruang syariat yang luas tepat pada masa, tempat dan keadaan tetapi masih dipagari oleh batasan-batasan syariat yang jelas?

Bagi saya, ber-gangyam hatta satu famili besar kemudian disebarkan untuk tontotan trillion manusia di seluruh pelusuk dunia bukanlah 'sporting'. Contoh 'sporting' adalah antara jawapan
al-Fadhil al-Ustaz Azhar Idrus Hafizahullah :

"Apa hukumnya bawa awek naik motor?"

"Hukumnya harus. Dengan syarat bapak dia duduk di tengah-tengah!"

Soalan yang sama menyangkut perihal hukum memakai seluar pendek oleh al-Fadhil al-Ustaz Azhar Idrus Hafizahullah.

"Apakah hukumnya pakai seluar pendek"


"Hukumnya harus. Syaratnya menutup aurat"

:D
 
PERGHHH!!! Sporting gilerrr beb! :D

Sporting bukan hukum; sebagaimana bid'ah bukan hukum. Haram, Halal, Wajib, Harus dan Sunat - itulah 5 hukum taklifi yang dihurai panjang oleh para fuqaha' radhiya Allahu 'anhum zaman-berzaman - dan untuk kita mengadili dan menimbang rasa sejauh mana kedudukan gangnam style satu famili dibolehkan untuk di-Youtube-kan~ (^^)

سبحان الله وبحمده، سبحان الله العظيم

سبحان الله والحمدلله ولا إله إلا الله والله أكبر

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه اجمعين وسلم

Friday, September 7, 2012

BERKAYAK – Kayuh Terus Beranjak, Kayuh Tiada Berlagak

[Berasal dari Penambang Sungai Gua Tempurung, Usai aktiviti kayak hampir empat jam, 
Hari Ahad, September Tanggal Dua 2012, Kem Hanifa, Gopeng]


MUQADDIMAH DAN PENGEMBARAAN 
Berkayak. Harus punya dua pendayung. Tak kira seorang pendayung dengan dua kepak pendayung. Atau dua orang pendayung masing-masing satu kepak pendayung. Pokoknya ada dua kepak - meski didayung seorang atau sepasang. Matlamat - mudahnya amat. Berkayak mengayak kayak menderas ke hadapan. Membelah arus mendayung kayak hingga sampai ke destinasi tujuan. 

Halangan Pengembaraan

Halangan-halangannya antara pasti atau tidak. Antara maujud atau tak wujud. 

Halangan-halangannya boleh jadi besar pada mata, kecil pada sangka. Boleh jadi besar pada sangka, tetapi kecil pada mata. Boleh jadi daripada jenis leluhur manusia yang bermandi-manda yang kenampakan. Boleh jadi daripada jenis makhluk yang hanya dengan firasat dan wahyu Tuhan baru tahu kewujudan. 

Boleh jadi pepohon bebuluh, sepeluk dedalu yang hidup segan mati tak mahu. Boleh jadi daripada spesies duku, langsat, dokong dan rambai yang sepanjang penggembaraan kami berdebat tentang apakah perbezaan antara mereka. 

Boleh jadi apa jua daripada bahagian makhluk yang hakikatnya maujud – diwujudkan oleh Yang Wajib Wujud iaitu Tuhan.   

Halangan-halangan – sekali apapun hakikatnya untuk harus ada, harus tiada; tetapi hampir wajib pada akal yang berakal untuk kita bersedia. Walau detiknya bila. Walau halnya bagaimana. Wajib bersedia hingga hampir mustahil pada akal untuk menunda-nunda sebarang persiapan menghadapinya.

Halangan-halangan - boleh datang dengan pelbagai tantangan, pelbagai jihah arah, bermacam aneka dan cara. Tetapi kesannya, sudah boleh diduga. 

"Capsize!"

Jatuh terguling tergolek kayak terpusing buat diri pening berpusar-pusar di dalam air sungai nan kuning, tercungap-cungap mendengus nafas, mencari sinar biar cuma sekilas - lantaran tiada biasalah diri pendayung kayak menjalani akannya hidup di dalam air. 

Terguling tergolek kayak terpusing itu menurut orang-orang Ratu Alexandra Elizabeth Mary tiadalah lain tiada bukan diberi istilah "capsize" jualah. 

Ya – sahaya sampai sempat bertalaqqi mengeja dengan Kekanda Haidar sewaktu mengesot bertinggung di atas punggung di atas lori yang tiada sabar memuntahkan segala isi, sewaktu panas membahang di tengah hari. Masih sahaya ingat, sahaya berpesan kepada akal sahaya – ingatlah formula ejaannya itu ialah “topi bersaiz” – “cap size”. 

Atas segala hal, hidup perlu terus hidup - meski kaki menginjak mendarat cuma di buritan, tiada berpijak di hamparan daratan - tetapi perjuangan tetapi diteruskan. Perlu pengayuh kayak mengayak kayak menderas ke hadapan - hingga sampai ke destinasi tujuan, wajib bersedia menghadapi halangan-halangan seharus manapun mereka mendatang.


PASCA 

Mungkin majelis bagi sesetengah orang - berbangga berlagak menggila - aku atau dengan pasanganku yakni kami - tak pernah - jatuh terguling tergolek kayak terpusing - walaupun hanya sekali.

Mungkin sadis bagi sesetengah orang - kecewa mencuka - aku atau dengan pasanganku yakni kami - berkali-kali seakan infiniti -jatuh terguling tergolek kayak terpusing - pasti lebih daripada sekali.

Lantas, ditanyalah sekalian orang, Tuan atau anda berdua yang hebat tiada pernah - jatuh terguling tergolek kayak terpusing - itu sebabnya apa? 

“Oh, pastinya sebab koordinasi aku atau kami berdua - mantop meletop!”

Lantas, ditanyalah sekalian orang, Tuan atau anda berdua yang teruk merenyuk - jatuh terguling tergolek kayak terpusing - itu sebabnya apa? 

“Uhuk! Uhuk! Koordinasi aku atau kami berdua - hancus platipus!”

Maka, menyimpullah sekalian orang,

"Now guys, now you learn how important it is to have good cooperation, teamwork, coordination, motivation, motion, lotion, potion, portion, ration - till the end of Thesaurus - menghaus!"

Aduh! Aduh! Aduh! Itu amat tipikal. Cliché. Persis orang mengaitkan kereta mewah itu hanyalah pada jenama Porsche. Mungkin itu cara menempel pengajaran pada generasi A.R. Tompel, tetapi zaman generasi yang suka "rebel-rebel" - petikan pengajaran berkenaan hanyalah menambahkan lagi koleksi contoh terbaik sepanjang zaman bagi peribahasa mahsyur - masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. 

Sudahlah tiada menyegar di otak, apakah akan tersemat kuat di hati? 

Ah, percuma! Mimpi cuma!

Kita cuba beri perspektif berbeza. Dengan Izin Tuhan. 

A :

Hebat sangatkah mereka yang tak pernah jatuh? Malang sangatkah mereka yang selalu jatuh? There is no road without puddles. Tiada jalan berlengkok yang tiada lekuk-lekuk berkeluk. Hidup adalah roda. Maka, adakah kita pasti kita akan senantiasa di atas? 

Sedangkan keberhasilan mereka di atas adalah hasil pengajaran yang mereka curi kutip intai ambil daripada deretan kegagalan mereka di bawah. Huh – berkayak kalau nak berlagak, sangatlah bagak! 

B :

Tetapi adakah jatuh terguling tergolek kayak terpusing hampir infiniti itu bagus? Oh, tidaklah pula sahaya berpendirian begitu. Malah, ingin sahaya nyatakan – yang sebaiknya,

"....wajar bagi pendayung kayak meski seorang atau berpasang mengalaminya; secara tabii atau buat-buat sendiri, meski sekali; kerana pengalaman - terguling tergolek kayak terpusing - itu adalah guru yang terbaik – ia hanya mula mengajar setelah ujian dihadapi pelajar."

Teori dan praktikal – ya, dan rasa zauqi – sekaligus tanpa bias, terangkum kemas!

Atau lebih mudah begini, disimpulkan :

Kegagalan itu perlu, agar kita mampu merasai sepuasnya nikmat tatkala kita berjaya. Supaya kita mencapai makna hakikat kejayaan yang sebenar di sisi ahli-ahli ma’rifat. Tetapi kegagalan itu tidak boleh selalu – kelak, sampai bilakah kita nak berjaya?

C : 

Adapun penggembaraan kayak itu kalau kalian berhentikan sebentar [pause], kalian akan melihat keajaiban perlambangan yang maha dahsyat. Subhanallah!


Perhatikan – kayak itu, bukan satu – tetapi banyak. Buritan-buritan kayak-kayak itu kalau dicampur tambah, hamparannya boleh menjadi sebesar jong seagam kapal perang! 

Tetapi, kalian hanya berpijak pada buritan kayak yang kecil mungil – bukankah itu menunjukkan seluas berapa pun hamparan tanah daratan di bumi ini, kalian hanya akan cemerlang gemilang terbilang tran tang tang kalau bermain di pentas kalian sendiri, tanpa perlu susah-susah sibuk-sibukkan diri hendak mengawal perintah buritan orang lain sedangkan buritan sendiri tak terjenguk! Telah berperi orang-orang Ratu Alexandra Elizabeth Mary, 

“Don’t be jack of all trades, master of none!”

Nah – masing-masing akui, buritan-buritan kayak-kayak itu kalau dicampur tambah memang menghampar luas, tetapi meski kecil bagaimanapun buritan kita itu pada mata kasar kita – jagalah buritan kita dengan baik semampu kita, barulah kayak-kayak apabila dicampur tambah, dapat dikelek dengan molek hingga semuanya terkayak sampai ke destinasi akhir.


Perhatikan – kayak itu perlu kepak-kepak pendayung. Bukan satu, tetapi dua. Kerana itu, anggota-anggota kita kebanyakannya Tuhan yang Wajibul Wujud itu mewujudkan secara berpasangan sehingga terkenal maklum dalam kalangan ahli bahasa bahawa sifat feminin atau dikenali sebagai “muannath” bagi anggota-anggota badan kerana sifat mereka yang seimbang berpasangan. Itulah keseimbangan antara dualisme yang saling boleh dibezakan tetapi perlu-memerlukan. 

Justeru, kedua kepak pendayung itu apa? Ia bergantung kepada pengertian penggembaraan kayak itu terlebih dahulu. 

Kalau kita melihat perjalanan kayak itu adalah lambang perjalanan kehidupan hati yang menuju kepada Tuhan, maka kita pasti mengangguk setuju pada kalam indah Ibnu Qayyim al-Jauzi, moga Tuhan meredhainya, yang mahsyur itu :
“Perjalanan hati menuju Tuhan umpama seekor burung yang sedang terbang di mana cinta mendalam adalah kepalanya.  
Takut dan berharap pula adalah kepak-kepaknya! 
Tatkala, kepala dan kepak-kepak berkombinasi baik, maka stabil dan mantaplah kedudukan burung itu. Jika terputus kepala, matilah ia. Jika hilang kepaknya, terdedahlah burung pada bahaya pemburu”
Meski kalam ini indah, hakikat dua kepak pendayung akan terus tiada henti dibedah! Bergantung kepada apa makna perlayaran kayak Tuan, apa erti penggembaraannya.


Perhatikan – arus yang terus tegar deras mendengus. Kayak dikayak ataupun  tidak, arus tetap terus-menerus bertali arus. 

Itulah hakikat masa. 

Hidup mahu diterus ataupun tidak, masa tetap bergerak berbentak-bentak. Dan hakikat masa itu sebenarnya boleh ia mendahului, bisa dengan kita saing-menyaingi dan bisa ia sendiri didahului. 

Ia bergantung kepada sekuat mana kita berusaha mendepani arus dalam pengembaraan kayak. 

Makin kuat, strategis dan kreatif kita memanfaatkan peluang dan ruang, makin cepat kita sampai ke destinasi akhir. Pandai pilih arus antara deras dan perlahan, antara tinggi dan rendah, antara luas dan sempit sesuai dengan keupayaan dan kemahuan sang pendayung.

Justeru, perkembangan dan tingkat capai dalam hidup, ia bergantung sekuat mana kita berusaha menghadapi hakikat masa dalam kehidupan. 

Makin kuat, strategis dan kreatif kita memanfaatkan peluang dan ruang, makin cepat kita mendahului hakikat masa itu sendiri hinggakan seseorang menjadi jauh lebih matang sebelum usianya!

Perhatikan - kadang kayuhan berpusing hingga menyebabkan kita sedang memandang ke belakang, bukan ke hadapan! 

Melihatkan arus yang terus meluncur laju seakan memaksa itu berlaku hingga akhirnya sahaya sendiri melihatnya sebagai normal. 

Sekali sekala, kita perlu memandang ke belakang, apa yang ditinggal nenek moyang. Jatuh bangun maju mundur betul salah yang mereka lalui dan tempuhi adalah umpama rangkaian nasihat dan amaran yang terlalu bernilai untuk kita perhati dan ambil peduli, dibuat bekal hingga kita meneruskan kembali penggembaraan kayak menuju ke destinasi yang menunggu untuk ditamatkan di hadapan. 

Justeru, membuang manfaat sejarah adalah seakan-akan menafikan takdir bahawa sejarah itu pernah berlaku!


Perhatikan – keberadaan tingkat usahamu, bukankah ia tiada lain melainkan naik turun sifatnya lantaran takat tenagamu dan tingkat semangatmu berbeda pada setiap hela nafas sepanjang penggembaraan. 

Dan lihatlah bagaimana Tuan berkelakuan spontan – saat Tuan berada di puncak tenaga dan semangat, Tuan mendayung penuh kuat dan minat. 

Sebaliknya, saat Tuan berada di lurah tenaga dan semangat yang bawah, Tuan tetap juga mendayung meski merasai penat dan lelah, namun santai-santai sahaja, sambil Tuan nikmati tiap-tiap panaroma yang Tuhan saji di sepanjang penggembaraan itu. 

Ya – itulah gambaran cara Tuan mengambil dunia. Kejarlah dunia sekejar-kejarnya saat kejaran itu diperlukan. Bersantai-santailah pada dunia saat Tuan bisa bersantai. 

Itulah maksud – orang beriman mengambil dunia hanya pada kadarnya. 

Bukankah kadar itu adalah jarak dibahagi masa? 

Ada masa, kerja dunia ini lama tempohnya panjang pula jaraknya, maka kadarnya itu rendah-rendah, maka bersikap santailah. Pasti berantakan kalau Tuan kejar-kejarkan saat Tuan boleh bersantai-santaian. 

Ada masa, kerja dunia ini singkat tempohnya pendek pula jaraknya, maka kadarnya itu tinggi-tinggi, maka bersikap lekaslah. Pasti berantakan kalau Tuan bersantai-santaian saat Tuan perlu berkejar. Kerana kita tahu akan sebuah bait dalam gurindam pasal yang pertama:

"Barang siapa mengenal dunia, 
tahulah ia barang yang teperdaya. 
Barang siapa mengenal akhirat, 
tahulah Ia dunia mudarat."

Perhatikan – sekian banyak cara Tuan mendayung. Nah – itulah maksudnya, begitu luas terbentang beribu jalan tak terhitung, buat Tuan harungi segala halangan di dunia ini. 

Lantas, pantaskah Tuan duduk bermuram durja tiada dibuat apa-apa dengan alasan kebuntuan, sedangkan sekalipun sesak bagaimanapun jalan keluar tiada kelihatan, bukankah orang beriman dijanjikan jalan min haisu la yahtasib? – jalan yang tiada disangka-sangka?

Beruntunglah mereka yang mengasah iman, saat kebuntuan – dihamparkan baginya sekian banyak jalan seperti sekian banyak cara dayungan!


Akhirnya, - perhatikan – bagaimana Tuhan zahirkan begitu banyak perlambangan yang sempat kita sama-sama korek, sama-sama gali sepanjang dayungan pengembaraan kayak ini. Dari saat kita memasang niat hingga saat kayak berlabuhan. 

Hakikatnya tiadalah setiap gerak geri kehidupan itu melainkan ia hanyalah umpama pantun. Yang terzahir itu, adalah perlambangan rangkap pertama dan kedua. Yang termakna itu, adalah erti yang mahu kita citra di rangkat ketiga dan keempat jua. 

Kerana itu, kita memerlukan tafakkur yang mendalam pada setiap perlambangan yang disulam oleh Tuhan yang Maha Salam. 

Sedangkan pantun mungil empat kerat perlu dibedah, inikan pula pantun seluas semesta raya?

Adapun daun tiadalah getah, 
Meredah malam burung bersahut, 
Adapun pantun perlu dibedah, 
Digali dalam muncullah maksud.

Dan sebagai mana dibalas oleh sahabat hebat sahaya :

Raja bertitah olehnya kanun, 
Adil dicari budi diangkat, 
Melayu menikam dengannya pantun, 
Makna digali budi diangkat!
:)

Wallahu'alam bissowab

Pengajaran yang diqadha’ untuk ditukul nukil :
11.21 pagi, 
Jumaat, 20 Syawal 1433 H


سبحان الله وبحمده، سبحان الله العظيم

سبحان الله والحمدلله ولا إله إلا الله والله أكبر

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه اجمعين وسلم

Sebarkan Manfaatnya! :)