Wednesday, November 30, 2011

Uji Input, Periksa Proses



Datuk Majid Salleh, seorang pakar ekonomi sahaya kagumi telah menghadiahkan satu buah fikiran yang membuatkan sahaya berfikir di dalam program Bicara di TV3. Beliau kesal dengan generasi baru yang tidak mempunyai legasi persis CEO taraf internasional dek tidak mampu membuat keputusan dengan baik. Lantaran itu, beliau katakan ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem pendidikan kita.

"Pendidikan kita terlalu kurang proses! Yang ada adalah hamburan input!" 

Contohnya, pendekatan pendidikan khususnya pendidikan di tahap rendah mahupun menengah, kita banyak dilambakkan dengan input dengan harapan para pelajar akan dapat menghasilkan output sebagaimana yang dikehendaki.

Tetapi, kita kurang sangat bicara isu proses. Sedangkan tiadalah akan terhasilnya output, melainkan selepas dituangkan dengan input itu, wajib datangnya proses. Ya, proses yang mencanai input agar output yang kita ingin hasilkan sejak dari awal kita sasarkan matlamat itu dapat dicapai dan digapai.

Contohnya - subjek sejarah.

Kendatipun sahaya sudah lama tidak menelaah subjek sejarah arus perdana di pendidikan rendah mahupun menengah, melihatkan adik-adik sahaya bergelumang dengan timbunan nota dan ulangkaji yang masih sama sifatnya, masih serupa orientasinya cukup memberikan suatu gambaran bahawa acuan bagaimana subjek sejarah itu diajar hakikatnya masih sama - tidak berubah sejak sahaya mengambil Sijil Pelajaran Malaysia tahun 2005.

Gaya soalan masih menekankan soal input, input dan input dengan lambakan fakta yang bertimbun. Itu tidak menjadi masalah sangat. Yang sahaya kesal, di mana ruang kita menguji proses berfikir mereka dengan ilmu sejarah tadi?

Soalnya, output subjek sejarah di mana anak-anak bumi pertiwi ini mampu menjadi generasi yang kental patriotisme dan semangat sayangkan khazanah perjuangan turun-temurun seakan-akan jauh panggang dari api. Mana tidaknya, soalan-soalan dan bentuk-bentuk ujian yang dipaksakan ke atas para penuntut ilmu berkenaan tidak langsung menekankan soalan bagaimana dengan fakta berkenaan kita mampu menghasilkan orang patriotik seperti yang diharapkan.

Orang patriotik itu bukan sekadar sebuah robot yang mampu menghujani secara spontan fakta berjela-jela panjangnya - Portugis datang menjarah Melaka tahun 1511 atau  terdapat 7 faktor pembentukan Malayan Union - sebaliknya patriotik itu adalah cetusan jiwa, nilai pengajaran yang kita mahu para penuntut ilmu itu sendiri luahkan daripada benak sanubari yang mencerminkan penghayatan mereka yang tinggi dengan hamburan input fakta yang diingat kuat! 

Kita mahu mereka berfikir dan mampu menyampaikan buah fikiran melalui penghayatan di atas kertas!

Inilah proses! 

Tidak dinafikan input perlu diuji. Namun, perlu kita sedari, untuk menilai output, kita harus melihat sejauh mana para generasi ibu pertiwi kita ini mampu menzahirkan proses berfikir mereka di atas kertas peperiksaan. Itu jauh lebih mustahak daripada hanya menghafal tiap-tiap bilangan hujah yang telah dirumuskan dengan tips itu resipi ini oleh para penceramah subjek skor-A sejarah.

Sahaya masih teringat akan kaedah yang menarik yang digunakan oleh pensyarah bidang "Finance" sahaya di University of Melbourne. Terang-terang, semasa kami bertungkus-lumus mengulang kaji pelajaran berkaitan, dia berkata :

"Untuk peperiksaan akhir kali ini, soalan-soalan yang saya sediakan secara puratanya semua orang sepatutnya boleh lulus. Cuma, ada beberapa bahagian kecil soalan yang akan menentukan sama ada tahap anda itu sekadar pelajar biasa-biasa atau anda memang seorang pelajar yang cemerlang"

Ternyata soalan yang dikemukan bersifat cadangan yang harus pelajar kemukan daripada permasalahan “Finance” yang diberikan! 

Ini amat menarik kerana para pelajar di samping terikat dengan norma-norma ilmu asas subjek berkenaan, ia mampu menterjemahkan proses berfikirnya di atas kertas apabila diminta membuat keputusan tentang sesuatu permasalahan yang mampu diselesaikan dengan ilmu yang dipelajari di dalam subjek berkenaan!

Ujian membuat keputusan ini adalah antara cara yang sahaya maksudkan dengan menguji para penuntut dengan "ujian proses". Ujian membuat keputusan ini boleh bersifat dua. 

Pertama - membuat keputusan dengan memberikan kata dua kepada sesuatu perkara. Ya atau tidak. Dan sebarang cadangan susulan. 

Ataupun yang kedua - memberikan pendapat bebas bagi sesuatu perkara.


Contoh - dalam Subjek Sejarah tadi - contoh soalan menguji proses bagi jenis pertama ialah "Jika anda berada di zaman perjuangan kemerdekaan, kelompok perjuangan yang manakan yang akan anda sertai. Mengapa?" 

Contoh bagi jenis soalan menguji proses jenis kedua pula ialah "Pada pendapat anda, wajarkah Malaysia menggabungkan diri dengan Sabah dan Sarawak pada waktu berkenaan? Huraikan skop dengan kesan keputusan sejarah itu pada masa kini"

Berikan sahaja pemarkahan sekitar 5%-10% bagi keseluruhan markah bagi kertas berkenaan. Bukankah bentuk soalan menguji proses ini punya serampang dua mata?

Pertama - soalan ini sendiri akan membezakan pelajar yang biasa-biasa dengan pelajar yang cemerlang yang bukan sahaja bijak menghafal timbunan fakta tetapi juga mampu menghadam dan menghayati input-input fakta yang diterjemahkan melalui jawapan yang berbentuk penghayatan dan perasaan.

Kedua - soalan ini akan menganak pinakkan diskusi sesama pelajar juga dengan para pendidik sekaligus corak pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja tertumpu dengan menelan segala input sejarah sebaliknya turut berfikir berkenaan sejarah. Mengguna sejarah bukan sekadar mengingat sejarah!

Bukan sekadar persoalan APA & BILA tetapi juga BAGAIMANA & MENGAPA - malah WAJARKAH? PERLUKAH?

Kreatif dan kritis!

Sewajarnya dalam membentuk generasi ulul-albab yang mana kata dasar daripada perkataan itu adalah “al-lubb” yang bermaksud "intelligence" sekaligus makna ulul-albab ialah ahli-ahli yang berintelektual - sepatutnya soalan sejarah harus dirombak daripada sekadar "Bilakah Portugis menjajah Melaka?" ataupun "Tok Janggut Pejuang Negeri Manakah?" kepada soalan "Pada pendapat anda, patutkah Melaka jatuh ke tangan Portugis 1511?” atau “Apakah pengajaran yang anda dapat daripada kisah Tuk Janggut dalam perjuangan kemerdekaan dari perspektif perjuangan agama masa kini".


Sebenarnya kesan kepada sistem ujian yang mengkesampingkan ujian proses ini telah melahirkan bukan sahaja generasi yang tidak langsung terasa semangat cintakan negara dari alur sejarah sebaliknya turut mengenai tempias para agamawan  imam-imam muda, bilal-bilal remaja dan para pendakwah-pendakwah belia kita.

Apabila ditanyakan kepada mereka kenapa kena tutup aurat, kenapa kena solat - jawapan mereka sekadar sebab Allah swt suruh. Atau sebab benda itu wajib. Sebab benda itu haram. 

Jarang yang cuba berhujah - kerana Allah swt tidak memerintahkan sesuatu yang tidak baik dan kerana Allah swt mustahil mengharamkan sesuatu yang tidak buruk. Tidaklah Dia mengharamkan sesuatu perkara melainkan perkara itu hakikatnya buruk untuk kita dan tidaklah Dia menghalalkan sesuatu perkara melainkan perkara itu baik untuk kita. Kerana dia Pencipta, dia jauh lebih tahu daripada kita. Ini menjawab soalan Feqah dengan perspektif Aqidah! Kemas dan cantik!

Inilah beza madrasah yang menekankan ujian input semata-mata berbanding sekolah yang menguji proses ilmu itu sendiri.

Maka - jangan terkejutlah - soalan "Boleh tak jawab Salam 1 Malaysia" atau "Boleh tak solat dalam Komuter" gagal dijawab dengan baik sekalipun bertahun-tahun menadah kitab. Asyik-asyik Al-Fadhil Al-Ustaz Azhar Idrus Hafizahullah jugalah yang jadi galang gantinya untuk menjawab segala persoalan berkenaan.

Kerana itu, input harus diuji, proses perlu diperiksa, barulah output terhasil sebagaimana dikehendaki! Kerana telur, tepung dan gula mungkin sempurna - tetapi sebab adunan yang tempang, kaedah yang cacat, akhirnya kuih yang dibakar hangus tak berlagu. Kemudian salahkan Tesco atau Giant sebab jual telur, tepung dan gula rendah kualiti, sedangkan cacatnya di tangan dan jari kita sendiri.

Kelakar.

Wallahu'alam

Kekicau Pantun : Bilo Abe Kito Berpantunnn


Aidiladha yang lalu, puput-puput bayu yang lembut menderu di pagi itu membangunkan diriku hingga terdengarkan bukan sekadar laungan takbir berdega-dega lagaknya, malah jiwaku terbangun pabila terdengarkan beduk mulus dari Tuhan daripada lantunan kalam-kalam ikhlas daripada ratib Sang Khatib berusia emas di atas mimbar. Ratib Sang Khatib seikhlasnya - 

"Haji itu membuktikan di sisi Islam, tiada nilai padanya bangsa dan warna kulit!"*

Bagi kita selaku orang-orang marhaen tak cukup kain, semestinya ia pernyataan biasa. Namun, Aidiladha yang lalu, puput-puput bayu itu lembut mengusik mengesani jiwa. Tidak lain tidak bukan lantaran keikhlasan ratib Sang Khatib. Maka, terpancullah di sisi Muka Buku, suatu imaginasi manuskrip drama yang asalnya berirama di benak getaran gitar dan sitar jiwa. 

"Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Walillahilhamd"
"Kita sebagai Orang Melayu mesti ingat kitalah yang bagi peluang kat bangsa-bangsa lain duduk kat tanah kita! Kalau kita tak bagi, jangan harap depa dapat duduk tempat kita!"
"Syarif, cuba tengok dalam TV tu ramainya orang Melayu"
"Mana ada Mustapha! Semua pakai putih ja! Berjuta orang kat Arafah tu? Takkan hang buta! Mana kenai mana satu Orang Melayu"
"Alhamdulillah! Kita masih celik, Syarif. Celik kita dengan Islam. Alhamdulillah"
"Astaghfirullahal'adzim! Jazakallahukhair, Mustapha sebab hang ingatkan aku!"

Berterusan. Berarusan. Irama di benak getaran gitar dan sitar jiwa tidak terhenti di situ. Sebaliknya, getaran berkenaan terus bergetar mengusik fikiran - tersimpan dalamnya kemas makna mafhum kalam Tuan Guru Datuk Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat Hafizahullah :

"Kalau Islam itu diukur dengan bangsa, Islam itu tak adil. Mana boleh ukur manusia dengan bangsa sebab masa kita lahir, kita tak diberi pilihan nak jadi Melayu ataupun Cina, Orang Putih ataupun India. Tapi sebab barang Islam ini dari langit, dari Tuhan - Tuhan tak ukur manusia dengan bangsa. Tapi Tuhan ukur manusia dengan taqwa. Barang taqwa ini dalam hati. Taqwa ini boleh dipilih. Pilih nak jadi Islam, Islamlah. Pilih nak jadi Kufur, Kufurlah. Barang taqwa inilah Islam! Sebab itu Islam itu adil, sebab Islam tak diukur dengan bangsa! Islam mengukur dengan taqwa!"*

Terhimbau sahaya akan bait-bait ini semula yang akhirnya terangkum tercantum di laman Kekicau. Asalnya sekadar luahan hati, tetapi tidak sahaya sangka, kicauan sahaya, ada juga yang menyahut! Subhanallah :)

Sahaya mengungkap :

Bangau terbang setinggi galah,  
Lihat sayu orang berburu, 
Ramainya orang di Arafah, 
Yang Melayu mananya satu?

Saudara Wan Ahmad Faiz Ibnu Wan Ab'llah Zawawi, Abe kito dari Kelate, Pelajar Universiti Melbourne Tahun Satu - menyahut :

Asalnya datang seluruh dunia, 
Arab Turki Cina Bajau, 
Ku intai cari manalah dia, 
Rupanya bersama gerombolan hijau.

Mulanya, sahaya tak faham warna hijau yang Saudara Wan Ahmad Faiz Ibnu Wan Ab'llah Zawawi maksudkan, lantas sahaya hingar mendetak :

Tolonglah segan menabur fitnah, 
Fitnah terus itu pedih, 
Jangan tuan membuat bidaah, 
Orang wukuf berbaju putih!

Saudara Wan Ahmad Faiz Ibnu Wan Ab'llah Zawawi akhirnya menjelas rentas maksud yang diungkap :

Segan ada malu pun ada, 
Tutup muka wajib sekali, 
Ingatkan tawaf wukuf rupanya, 
Najib dan Rosmah ada sekali.

Barulah sahaya faham akan perihal yang ingin dimaksudkan :) Segerombolan hijau itu mewakili barisan tentera yang mengawal Datuk Seri dan rombongan. 


Pak Cik penjaga segmen-segmen Jambatan Kedua Pulau Pinang sewaktu rehat petang pernah mengungkap :

"Padanlah Najib kena dikawal ketat, kalau tak, malu Arab Saudi kalau ada yang buruk jadi kat dia. Tapi, aku tak nafikan, kalau begitu layanan diberi, tak terasa sangat susah payah buat kerja haji! Itulah yang Najib rugi~"

Begitulah juga perasaan sahaya sedikit sebanyak. Perihal tersalah kicauan di laman kekicau oleh Datuk Seri, sahaya melihat ia sesuatu yang sebaiknya Datuk Seri yang jawab semula. Kalau benar dikatakan selesai haji kerna selesai wukuf - eloklah Datuk Seri sendiri perjelas. Bukan susah nak mengicau dengan menulis :

"Maaf atas salah tafsir. Saya sebenarnya baru habis wukuf"

Tanpa tanda buka kata dan tanpa tanda tutup kata, masih tinggal 83 aksara untuk Datuk Seri tulis di laman Kekicau. Tapi, entah mengapa, bersimpang-siur jadinya sampai bapak-bapak menteri yang kena jawab. Kalau kita bersalah apatah lagi kalau tersalah, mengaku sahajalah. Jangan sampai kita dicop mohor teruk oleh orang-orang Melayu sebagaimana bunyinya pantun :

Di Tanjung Malim awan berkabut, 
Tiada hasil kalau memotong, 
Sedangkan alim ngaku mengikut, 
Tuan yang jahil jelek menyombong!

Moga Allah swt ampunkan kita semua insyaAllah. Moga diterima segala amalan dan ibadat. Kepada yang membaca, jangan ingat ini hanya untuk Datuk Seri - sebaliknya juga untuk setiap daripada kita termasuk sahaya, apabila memegang amanah pangkat rendah mahupun tinggi, ingat-ingatlah :

Kalau kita bersalah apatah lagi kalau tersalah, mengaku sahajalah. 

:)

Adinda Wan Ahmad Faiz Ibnu Wan Ab'llah Zawawi - saya suka pantun anda. Alhamdulillah dan tahniah! :)

*Au kama qolaa :)

Kenapa Bayi Ketawa ?!


Seorang rakanku, Saudara Hafizee Ideris bertanya secara rambang :

Kenapa 'baby' ketawa??

Lantas, aku membaca makalah terbaru karya Tuan Marwan Bukhari yang berbunyi antara lain sebahagiannya :

Pengamalan menyekat kebebasan bersuara dan berhimpun petanda kepada malapetaka yang besar menimpa seluruh manusia dan tidak menghormati karamah insaniah (human dignity) kerana dalam dunia hari ini, hak untuk bersuara merupakan antara hak paling asas yang dimiliki insan.

Prof Tariq Ramadhan dalam bukunya The Quest For Meaning menyatakan:

"At the human and physiological level, the first freedom is the freedom we acquire once we have satisfied our elementary natural needs.” (pg. 55)

Lantas, subhanallah, aku diilhamkanNya :-

Mungkinkah bayi ketawa lantaran ia petanda kepada orang-orang dewasa bahawa sekecil aku pun Tuhan telah memberikan aku upaya untuk mengekpresikan HAK BERSUARA seorang makhluk? :)


Sungguh hari ini, hari hitam kelam suram yang seakan tiada hentinya kekabutan malam. Semuanya pantas, mahu dilulus lekas.

Kau pasung kami
Dalam hingar bingarnya

Alam yang diam


#haiku 5-7-5

#PA2011

Oh kalian, sungguh anak Malaysia ini tidak akan lupa robekan dasar "mee segera" PPMSI juga sepantas kilat. PA2011 juga sederas angin. Maka, nantikanlah petir, hujan dan taufan rakyat tidak lama lagi.

Aduhai, sedangkan dunia sementara, inikan pula kuasa.

Thursday, November 24, 2011

Syair Seorang Penyair



SYAIR SEORANG PENYAIR

seorang penyair
tidak berkata-kata hanyir
tetapi
butir kalam seorang penyair itu hadir membuka bicara tabir
merakam episod getir
kehidupan mundar-mandir
insan-insan yang berlendir lagikan kerdil mungil
ditipu Pak Pandir
yang memberikan mereka air
busuknya persis racun nadir
yang datang dari tadahan banjir
akibat petir yang kucar-kacir membedil
akan batin
mahupun
zahir!



#Jaulah Kuala Lumpur, Satu Zulkaedah 1432H




Tanjak sajak bermadah buat Sasterawan Kami Pejuang Rakyat Pak A. Samad Said selepas teringat keletah Mat Sabu menyifatkan beliau sebagai sifu kungfu dalam sebuah ceramah di Juru & usai teringat kisah Usman Awang berkenaan novelnya perihal polis dan komunis di Harakah tidak lama dulu.

Firasat Diingat Sang Pelacur


FIRASAT DIINGAT SANG PELACUR

Sang pelacur,
Ke lorong dia laju meluncur,
Timbang imannya semakin luntur,
Cermin akhiratnya makin menghabuk kabur,
Amarah pasti pada sang penegur!

Saat jatuh bercucur keringatnya melacur,
Maka jiwa hati sukma kecur melecur menggelupur,
Hingga tubuhnya kian mengendur,
Darinya lorong dia makin menggesot mundur,
Sehingga dia akhirnya hancur,
Dengan mayatnya kaku terbujur,
Segera ditalkinkan di tanah kubur yang berlumpur kotor,
Tiada subur untuk digembur!

Jangan kau ingat Lorong Haji Taib itu satu,
Lorong Haji Taib itu hakikatnya beribu!

Selagi mana dunia masih dikejar tegar lantaran ketegar!

Patah tumbuh hilang berganti
Iman diganti nafsu, 
Nafsu merajai,
Dengan sepenuh hati!

Bukankah dengan hati yang penuh,
Hatta emas buruk dapat disepuh?

Hati yang penuh itu buta pada dosa dan pahala!

Maka, jangan kau hairan,
Yang pelacur masih melacurkan
Yang berjihad masih berjihad
Kerna persamaan sang pelacur dan sang mujahid
Padanya hati yang penuh melaut langit!

#Perhentian Lorongan Beribu Haji Taib, Zulhijjah 1432H

Cinta kepada DUNIA adalah kepala bagi setiap kejahatan!

Friday, November 18, 2011

Pancung Tuan Malique Segera! [Bahagian Satu - Tafsir Aku Maafkan Kamu]


Salam Hormat Bapak Musoitir,

Aku menulis dengan penuh kesedaran. Mohon Bapak Musoitir berikan perhatian. Jangan sesekali terlepas pandang kerna bahaya datang kini bukan kepalang. Aku memberi ingat kepada Bapak Musoitir, persis Haman memberikan isyarat kepada Raja Fir’aun. Bahawa akan datang suatu sihir yang akan menyihir segala sihir. Sehingga ketumbukan Bapak Musoitir akan dikalahkan oleh sihir itu. Tika saat sihir itu mulai luas pengaruhnya, aku jadi amat-amat khuatir. Khuatir andai Bapak Musoitir akan diusir dari Tanah Selaksa Emas ini.  Bapak Musoitir kena faham. Bila Bapak Musoitir diusir, pasti aku turut sama disiat dibedil!

Oleh itu, aku minta Bapak Musoitir berikan perhatian. Jangan sesekali terlepas pandang bahaya mendatang.


Tuan Bapak Musoitir Terhormat,

Jujur – haramkan sahaja Tuan Malique bersuara. Aku faham Bapak Musoitir tidak faham apa yang Tuan Malique carutkan dan karutkan dalam bait-bait lagu dengan Ayah Jamal. Yang Bapak Musoitir tahu, gelek-gelek, angguk-angguk, geleng-geleng, pusing-pusing dengan anak-anak dara sunti Bapak yang stoknya banyak di pentas-pentas disko, rumah-rumah ibadat hiburan. Memang sedap telinga mendengar, halwa menusuk kalbu, dengan ulangan cantiknya amat. Aku faham, aku mengerti. Kerana aku pun “join” kaki sekali tika Bapak Musoitir rasmikan “launching album” Tuan Malique berkenaan.

Tapi – Bapak Musoitir – tolong, dan tolong berikan perhatian. Jangan sesekali Bapak terlepas pandang bahaya mendatang.

Pancung sahaja Tuan Malique dan Ayah Jamal! Seberapa segera. Atau buang mereka ke Pulau Ular Berbisa Jin Bertendang, biar mereka rasa nikmat azab neraka ciptaan kita. Penjarakan mereka usah bicara! Bab bukti serahkan pada aku. Aku akan arahkan anjing-anjing terlatih kita untuk meletak bom atau dadah ganja biar mereka akan terperangkap lantas kita serbu menangkap.


Kenapa begitu drastik?

Bapak! Oh Bapak! Oh Bapak! Sedarlah! Semua bait-bait indah, rentak-rentak rancak Tuan Malique dan Ayah Jamal itu adalah SIHIR! Sihir yang akan menyihir sihir-sihir kita yang akan buat kita diusir dan aku khususnya dibedil! Ia sedang melarat, Bapak. Ia sedang melarat menusuk setiap jiwa ummat!

Apa? Bapak tidak percaya? Bapak kena faham bahawa asalnya Bapak ini orang yang Bahasa Melayu SRP pun tak lepas, inikan pula Bahasa Melayu darjat PHD. 


Bapak ini, maaf cakap, sebenarnya - bodoh. Ya, bodoh bahlul tolol bangang bengap lembap dan sembap! Sebab itu Bapak hanya lulus UPSR! Tapi, Bapak jangan berkecil hati, Bapak punya satu sifat yang tiada pada orang lain. Jika tidak masakan Bapak mampu duduk di atas singgahsana takhta yang berkilau permata ini. Bezanya Bapak yang bahlul tolol bangang bengap lembap dan sembap dengan yang mungkin lebih pandai cerdik genius dan baik ialah kerana Bapak hakikatnya seorang yang licik! Ya licik dengan maksud pandai memanfaatkan peluang. Tipu-tipu sikit, Bohong-bohong banyak, terus dapat kuasa – siapa menghalang, Bapak lanyak-lanyak sampai jadi tempoyak hingga terburai terkoyak! Itulah kelebihan Bapak. Ha ha ha ha!

Mereka kononnya dikira pandai bila mereka tak beri undi. Konon-konon nampak lebih pandai cerdik genius dan baik bila berkecuali. Tapi mereka buta akan hakikat. Sedangkan Negeri Raksasa Syaitan Amah Rick Carl yang mereka kaji dari siang malam dan petang sudah memberi tunjuk ajar. 


Hakikatnya :
Pemimpin-pemimpin bodoh dihantar ke Rumah Warna Salji 
oleh orang-orang cerdik yang tidak mengundi. 


Ha ha ha ha! Harap dapat PHD berangkai-rangkai, tapi tetap bodoh bahlul tolol bangang bengap lembap dan sembap! Kononnya dengan berkecuali akan membersihkan sistem tetapi tindakan itu hanyalah ibarat memukul lalat dengan tukul di hidung!


Tuan Bapak Musoitir Termulia,

Aku akan tulis sedikit demi sedikit. Sebab banyak lagi harta karun khazanah darat laut tanah dan air kena diurus. Jadi tulisan ini aku akan tulis sedikit demi sedikit untuk ingatkan Bapak. 


Aku mulakan dengan bait-bait sihir utama yang asyik diulang-ulang. Setan punya Tuan Malique, dia dah tiru cara kita buat propaganda! Kalau kepalsuan yang diulang-ulang pun akhirnya akan menjadi kebenaran, inikan pula kebenaran yang ditelanjangkan! Setan punya Tuan Malique, dia ulang-ulang bait itu dalam sihir mantera yang menjadi siulan anak-anak rempit kita saat ini :

Ada teratak di hujung kampung
Bawah cermin kopak ada kotak
Tersembunyi dalamnya ada tempurung
Sembunyi bawahnya katak melalak

Bapak! Inilah mantera utama sakti pelaris tangkal yang akan menjadi ulangan kebangkitan ummat persis "Remember! Remember! Remember! dalam V for Vendetta!" kalau Bapak masih berdegil tak mahu pancung Tuan Malique dan Ayah Jamal.

Hakikatnya – bait ini akan membunuh kita dari belakang sebab ia jelas terbentang mengata kita secara terbuka tetapi tersirat meski tersurat! 


Dia nak kata kita ini kuat melalak tapi lalakan kita itu palsu, tipu lagi mengarut! Cakap dega-dega kuat-kuat deras-deras dalam Dewan Parlimen, Dewan Senat, Balai Raya, Rumah Terbuka & Sekolah Tadika tapi ide-ide kita itu itu busuk, luput tarikh, terkebelakang, usang, kotor, gelap, gelap dan gelap.


Bapak Musoitir Pemimpin Sepanjang Hayat Kami,

Aku tahu Bapak haram tak baca al-Qur’an. Tapi Bapak jangan risau, aku ini jurusan Al-Azhar Tahap Mustawa 'Ulya! Aku tahu semua benda di dalamnya untuk Bapak guna pakai. Bukankah al-Qur’an itu untuk diguna pakai. Kan musuh-musuh takhta Bapak asyik ulang al-Qur’an panduan hidup untuk diguna pakai?

Jujur, aku rasa Tuan Malique ini ahli al-Qur’an. Ini semua sebab Tuan Maliqque walau tak sepandai aku tetapi ada kemungkinan secara rahsia-rahsia "sirr wal hazar"; dia menuntut ilmu daripada musuh-musuh takhta Bapak di pondok-pondok ceruk di kampong busuk mereka. Bapak kena ingat, musuh-musuh kita itu rakan sepengajian ku di Al-Azhar. Mereka itu pintar agama belaka. Mungkin dari tempat pesantren itulah terilham bait-bait teratak di hujung kampung.


Dalam al-Qur’an, Allah swt sebut dalam surah ke-2 ayat 257 – perihal orang-orang jahat macam kita, [alah mengaku sahajalah kita jahat – cuma pandai makan, pandai simpan!] – dikeluarkan daripada AN-NUR berpindah ke AZ-ZULUMAAT. 


Bapak Musoitir rasanya boleh bezakan antara benda yang banyak dengan benda yang tunggal, kan? Banyak itu banyak, tunggal itu satu – maka banyak itu lebih daripada satu. Tapi sebab al-Qur’an diturunkan dalam Bahasa Arab, maka dalam Bahasa Arab ada perihal deduaan pada kata nama. Maka, banyak itu - disisi Bahasa Arab ialah lebih daripada satu dan dua. Bapak Musoitir, ada faham?

Bagus! Kalau Bapak faham. Aku teruskan. An-Nur itu maksudnya Cahaya. Sebab ada “alif lam” pada An-Nur, maka ia bermaksud Satu Cahaya yang diketahui dan dimengerti. Satu Cahaya yang diketahui dan dimengerti ini ialah cahaya Islam. Benda-benda benar pada sisi Islam itu bercahaya. Cahayanya bersinar menerangi alam.

Ironinya, apa yang bertentang dengan An-Nur itu adalah Az-Zulumaat yang maksudnya Kegelapan-Kegelapan. Sebab ada “alif lam” pada Az-Zulumaat, maka ia bermaksud bukan Satu Kegelapan tetapi Banyak Kegelapan yang diketahui dan dimengerti. 


Kegelapan-kegelapan ini boleh dimengertikan dengan dua maksud. Pertama – kegelapan-kegelapan yang banyak jenis. Kedua – kegelapan-kegelapan yang berlapis-lapis.

Contoh kegelapan-kegelapan yang banyak jenis ialah di sisi Tuhan, tiada beza antara Paderi Kafir dengan Pencuri Kafir. Mungkin di sisi manusia, Paderi Kafir itu baik tetapi disebabkan dia menolak kebenaran setelah dibentang, segala amalan baiknya akan dibayar tunai oleh Tuhan dan untuk akhiratnya – semua itu terbatal dan terhapus seperti debu-debu yang terbang seperti mukus menikus keluar sebagai sampah darinya hidung – tidak disimpan tetapi dikesampingkan.

Manakala,  contoh kegelapan-kegelapan yang berlapis-lapis ialah kegelapan yang sama diulang-ulang tiada henti sehingga hati pun keras dan mati dan tidak berasa bersalah lagi - malah menganggap yang jahat itu suci, yang suci itu keji.

Maka – perihal dalam kampong ada teratak, dalam teratak ada cermin kopak, bawah cermin kopak ada kotak, dalam kotak ada tempurung, dalam tempurung ada katak, katak itu pulak kerjanya melalak – sungguh tidak syak lagi bahawa sesungguhnya Tuan Malique nak maksudkan bahawa barisan kita semua ini mewakili kegelapan yang berlapis-lapis disebabkan kegelapan-kegelapan yang banyak jenis atas segala perbuatan jahat yang kita buat. Nepotisme, rasuah, kaki perempuan, kaki judi, kaki tolak hudud, kaki penjara tak bicara, kaki botol, kaki tipu, kaki mengampu, kaki mengumpat, kaki mencarut, kaki hasad, kaki dengki, kaki iri hati – dan banyak lagi senarai tak tersenaraikan. 

Takut? Jangan takut Bapak Musoitir! Semua ini dengan izin Tuhan akan terhapus dengan bertaubat jerrr. Tunggulah bila dah makin tua – kita bertaubat la. Jangan bimbang. Yang penting sekarang – Tuan Malique harus dicantas pancung dengan segera! Itu taubat belakang cerita!

Ya segera! Tiada tunda!

Baiklah. Aku berhenti dahulu setakat ini. Takut Bapak Musoitir nanti melimpah-limpah sangat hujah diberi – takut tak terbuat pulak nanti. Apapun, kalau Bapak Musoitir masih tak faham – cukuplah Bapak ikut dan patuh pada segala saranan dan nasihat baik aku. Apatah lagi aku yang paling pandai sebab dapat Mustawa Ulya dari Al-Azhar, sedangkan Bapak Musoitir asalnya Bahasa Melayu SRP pun tak lepas.

Cepat tangkap Tuan Malique dan Tuan Jamal!

Sekarang! Segera! Tiada tunda!

Yang kali ini benar dan tiada lain melainkan benar,
Khidmat Tiada Henti,
Ketua Segala Juak Kerajaan Tanah Selaksa Emas


Nota Kaki : Syaitanlah paling berilmu tentang Tuhan sebab itu Tuhan nilai dengan amal bukan ilmu. Cumanya, amal hanya diterima dengan ilmu yang benar. (^^)


Lari ke Punjab mengikut arus,
Arus melengkok di Sungai Gangga,
Melayu menjawab tidaknya terus,
Jawabnya bengkok tersirat makna.
(=

Thursday, November 17, 2011

Kekicau Pantun : Cik Puan Thoyba Mengalah? (^^) Bahagian Dua


Klik untuk Naratif Artikel bagi memudahkan kefahaman melalui peti suara (^^)

Sambungan artikel Kekicau Pantun : Cik Puan Thoyba Mengalah? (^^) Bahagian Satu - sila ke sana sebelum ke sini (^^)




Adapun Cik Puan Thoyba Mursyidah membuka langkah baru dengan mengadu. Mengadu dia menderu-deru dek sakitnya datang menderas melulu. Hingga berasap satu kepala hingga ke ubun-ubun lagaknya. Cik Puan mengadu :

Cik Puan : Aduhai, panasnya Sydney! Allahu Allah! Sehinggakan kepala terasa panas berkuap, kelopak mata mahu tersayat... Bagaimanalah neraka nanti...

Sahaya seakan tersentak. Terpana mendengarkan luahan aduan meruntun jiwa, mengusik iman. Astaghfirullah. Lantas, Dia ilhamkan.

Sahaya : #astaga

Ngendong raga berisi nangka,
Ubat puaka Nyang Rapit,
Ganjaran syurga sampai tak sangka,
Takkan neraka sekadar secubit?


Cik Puan : Aduhai, tak terbalas pantunnya Tuan. InsyaAllah - suatu hari nanti akan cuba membalas. #iwish

Sahaya : #pantun

Si bomoh tua menyukat tuba,
Menyukat tuba sebagai tangkal,
Tidak mengapa gagal mencuba,
Tidak mencuba itulah gagal!


Kemudian, Cik Puan seakan mengusik.

Cik Puan : Baiklah! Akan mencuba! InsyaAllah! Yoshhhhhh! Akh Za'im boleh masuk sayembara pantunlah saya rasa. Give it a try.

Ini sudah lebih batas. Usikannya seakan menghina pantun. Masakan tidak, mana mungkin warisan nenek moyang yang baik dan molek ini hanya khusus untuk bertanding? Sudahkah mereka lupa akan akrabnya pantun dengan Melayu, menemani Melayu menggembara tujuh daratan tujuh lautan? Ke gunung, pantun sama mendaki. Ke lurah, pantun sama menuruni. Ke laut, pantun sama harungi. Ke hutan, pantun sama terokai. Orang sekarang hanya tahu pantun di pentas pantun. Inilah dia pemikiran zaman putung berasap di zaman teknologi minyak dan wap!

Geram sahaya. Geram! Geram! Geram!


Maka, sahaya memulang paku keras dengan bersantun dalam pantun di mana pembayangnya menggambarkan ribut petir kilat sabung-menyabung berdentum-dentum melukis perasaan bergelojak dan bergelodak di benak sahaya yang mendalam.

Sahaya : #pantun

Angin bayu menderu deras,
Air berkawah hujan turun,
Pantun Melayu tak tunggu di pentas,
Di celah sawah pantun tersusun!

Cik Puan : 'Speechless' dah saya, Tuan Ibnu Zaharah dengan susun kata yang indah itu. Mengingatkan diri untuk lebih kerap mengasah pena dan buku. 

Sahaya : #pantun 

Masak laksa secukup rasa,
Daun ketumbar airnya embun,
Alah bisa tegal biasa,
Asal penawar darinya racun. :)

Cik Puan : Akh, pernah mencuba Haiku?

Sahaya : #pantun

Masaklah pengat aku nak makan,
Pengat berinti janganlah masam,
Rasa ralat menukar sampan,
Sampan sendiri bocor nak karam! 


Cik Puan : 

Dua tiga kucing berlari, 
manakan sama si kucing belang...

Sahaya :

Putus asa amatlah tensi,
Teruskan usaha baru tak malang!

Cik Puan : Baru tak malang? #bahaha 'yosh'!! akan berusaha, Tuan Ibnu Zaharah yang budiman. #tabik spring

Sahaya : #pantun

Main beduk sampai ke Asar,
Main gasing di mulut duku,
Kena ketuk barulah sedar,
#tabikspring padaNya dulu!

Cik Puan : Terbaiklah Tuan. Terima kasih untuk pelajaran hari ini.

Sahaya : #pantun

Ambil galah tolong jolokkan,
Kucing mengiau bermanja-manja,
Sempurnalah sudah pantunnya Puan,
Diruang kekicau aku gembira :)

Adapun rambutan tak sama durian,
Tak enah dijamah dengan melulu,
Adapun syukran akhir-akhirkan,
Zikir Alhamdulillah mari dahulu.

Alhamdulillah! Alhamdulillah! Alhamdulillah!


Berakhir sudah kekicau pantun untuk kali ini.
Moga segalanya diberkatiNya insyaAllah.
Moga bermanfaat berkali-kali lipat! ~^^)

Wallahu'alam bi sawwab
Allaha nasta'inu fi kulli 'amal
Ilaihi qasduna wa'alaihi muttakal

(^^)

Nota sisi : #sesuatu ialah 'hashtag' di Twitter yang benar-benar ditulis semasa kekicau pantun ini berlangsung. Kata-kata telah diubahsuai daripada teks asal di laman Twitter berkaitan, namun, insyaAllah, makna dan susunan lebih kurang sama. Masih dalam "tolerance range" (^^!)

Salinan di Muka Buku boleh didapati di sini 

Sebarkan Manfaatnya! :)